“Saya masih dalam iddah… saya langsung tidak tahu suami akan berkahwin,” demikian kata Che Norhashimah Hassan, 50, balu kepada Allahyarham Hassan Shazali, 52, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring, Bukit Kawah pada petang Jumaat.
Che Norhashimah berkata, dia menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 8.15 malam ketika berada di rumahnya di Gua Musang, Kelantan, sebelum dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan.
Saya Masih Dalam Iddah, Tak Tahu Suami Bakal Kahwin
Menurutnya, dia tidak mengetahui langsung mengenai rancangan arwah suaminya untuk berkahwin pada 25 Disember ini kerana mereka kini tinggal berasingan buat sementara waktu.
“Kami sebenarnya telah bercerai tetapi saya masih dalam tempoh iddah. Kami juga sudah tidak berhubung hampir tiga bulan lalu, sebab itu saya sangat terkejut dan tidak menyangka perkara begini akan terjadi.
“Apa pun yang berlaku, saya pasrah dan reda kerana saya masih lagi anggap dia sebagai suami saya yang telah hidup bersama sejak 25 tahun lalu,” katanya sebak, hari ini.
Ibu kepada lima anak berusia antara 8 hingga 24 tahun itu berkata, berita pemergian arwah diterima dengan hati yang sangat pilu namun tetap dianggap sebagai ketentuan yang perlu dihadapi dengan sabar.
“Saya reda dan pasrah dengan ketentuan ini.
“Walau apa pun yang telah terjadi, arwah seorang bapa yang sangat mengambil berat hal keluarga dan tidak pernah mengabaikan anak-anak,” ujarnya.
Che Norhashimah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Renok Baru berkata, dia tiba di hospital sekitar jam 4 pagi selepas bergegas dari Gua Musang ke Bachok sebelum ke Hulu Terengganu bersama abang kandungnya.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham berkata, kali terakhir dia berhubung dengan ayahnya ialah pada Rabu lalu.
“Sebelum ini, ayah memang selalu berpesan supaya saya jaga adik-adik dengan baik.
“Bila kami bercakap baru-baru ini pun semuanya seperti biasa dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik,” katanya yang kini mengikuti pengajian Diploma Pengajian Lepasan Ijazah (DPLI).
Proses bedah siasat kedua-dua mangsa selesai kira-kira jam 2 petang.
Artikel lain: Baju Pengantin Ditemui Dalam SUV, Pasangan Jatuh Gaung Tak Sempat Naik Pelamin 25 Disember
Jenazah Allahyarham Hassan telah dituntut keluarga untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Kedai Menanti, Pasir Puteh, Kelantan, manakala jenazah Allahyarhamah Suzaimah Che Azis, 34, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang.
Dalam kejadian pada jam 5.30 petang Jumaat, sebuah SUV Toyota Fortuner yang dinaiki arwah Hassan, Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Lebir, dan arwah Suzaimah, pengusaha kantin sekolah sama, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung, mengakibatkan kedua-duanya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.












































