Tindakan seorang pengait sawit memperdaya dan merogol adik iparnya sendiri akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Menurut laporan Berita Harian, hukuman itu dijatuhkan selepas lelaki berusia 39 tahun tersebut mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol mangsa yang kini hamil enam bulan hasil perbuatan keji itu.

Foto: BH
Hakim Mohd Khairi Haron ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah serta rayuan tertuduh sebelum memutuskan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, namun tempoh penjara itu akan berjalan serentak.
Artikel lain: Datuk 73 Tahun Didakwa Rogol Cucu Kandung Mengaku Tidak Bersalah
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling selama setahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman, mengikut Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa rogol adik iparnya yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang pada jam 1 pagi, Mac lalu, sebelum mengulangi perbuatan sama di rumah lain pada 31 Ogos, sekitar jam 12.01 tengah malam.
Kes dikendalikan mengikut Seksyeyn 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hasil siasatan polis mendapati mangsa dirogol beberapa kali di dua lokasi berbeza dan turut diugut supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.
Mangsa akhirnya mendedahkan kejadian kepada ibunya sebelum laporan dibuat, menyebabkan tertuduh ditahan pada 24 September lalu untuk siasatan lanjut.
Sumber: Berita Harian (Alias Abd Rani)
