Satu daripada lima restoran di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang dikenakan tindakan kompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kesalahan berhubung papan tanda baru-baru ini, sedang mempertimbangkan untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada papan tanda baru mereka.
Memetik laporan Malaysiakini, pihak pengurusan Chen Jiuru Beef Noodles Restaurant akur dan bersedia untuk menukar papan tanda premis mereka bagi mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
Foto: Malaysiakini
Menurutnya, papan tanda baru mereka akan dibuat tidak lama lagi dan mungkin menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
“Kami sedang buat (papan tanda). Kami mungkin akan menukar kepada papan tanda dalam bahasa Melayu sepenuhnya,” kata sumber yang enggan didedahkan identitinya kepada Malaysiakini, semalam.
Seorang sumber lain pula memaklumkan Steam Era Seafood Steamboat Restaurant turut akur untuk mengubah papan tanda mereka bagi mematuhi peraturan selepas tindakan kompaun diambil terhadap mereka.
Foto: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
“Tetapi pelaksanaan perubahan tersebut akan diatur oleh (pengurusan) syarikat,” katanya ringkas.
Seorang sumber lain yang mengetahui perkara ini, Restoran Shu Xiang Hotpot juga akan mengambil tindakan dengan menyesuaikan papan tanda mereka mengikut peraturan ditetapkan kerajaan.
“Kami sedang mereka bentuk (papan tanda)… ada tulisan Cina, tetapi saiz tulisan Melayu akan lebih besar daripada tulisan Cina.
“Kami akan mengikut undang-undang kerajaan bagi membuat perubahan (pada papan tanda),” katanya yang turut enggan didedahkan identitinya.
Foto: Malaysiakini
Bagaimanapun dua lagi premis perniagaan yang terlibat enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.
Tinjauan Malaysiakini ke premis-premis berkenaan mendapati perniagaan mereka berjalan seperti biasa dan sebarang perubahan pada papan iklan belum dilakukan.
Terdahulu, DBKL menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas premis yang tidak menyertakan bahasa Melayu di papan iklan atau papan tanda premis perniagaan mereka.
Dalam hantaran di Facebook, DBKL memaklumkan lima premis di sekitar kawasan tumpuan di ibu negara itu dikenakan kompaun dan notis penguatkuasaan bagi “menyegarkan ingatan” berhubung peraturan berkenaan perkara itu.
Lima premis di Jalan Imbi berkenaan didapati melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan bahasa Melayu di papan iklan mereka.
Foto: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Tindakan itu dikenakan terhadap Restoran Chen Jiuru Beef Noodles, Restoran Oversea, Restoran Shu Xiang Hotpot, Wing Heong (kedai makanan daging salai dan makanan ringan) dan Steam Era Seafood Steamboat Restaurant.
“Nampaknya mereka lebih gemar mempamerkan bahasa lain. Tak apa, kita bantu ingatkan mereka dengan kompaun dan notis penguatkuasaan.
“Sekarang, mereka ada 14 hari untuk turunkan iklan tersebut, atau tindakan selanjutnya akan menyusul,” kata DBKL.
Susulan tindakan itu, pelbagai komen di media sosial yang mendakwa tindakan itu sebagai pilih kasih kerana masih banyak lagi premis perniagaan lain malah syarikat gergasi gagal dalam mematuhi peraturan tersebut.
Foto: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Netizen juga mempersoalkan mengapa tindakan itu baru diambil sedangkan ada sesetengah restoran yang sudah beroperasi sejak sekian lama, papan iklan mereka tertera nombor permit kelulusan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu netizen turut mempersoalan tindakan diambil kepada premis Wing Heong sedangkan papan iklannya didakwa mengikut syarat ditetapkan termasuk menggunakan bahasa Melayu selain memaparkan logo syarikat.
Selepas pelbagai komen yang mengecam tindakan itu, pentadbir Facebook DBKL kemudiannya menutup ruangan komen hantaran berkaitan perkara tersebut.
Sumber: Malaysiakini (N Faizah Ghazali dan Zhi Ting)