Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar membantu memudahkan pergerakan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu ke Jeddah dengan menaiki bas sebagai sebahagian daripada pengaturan proses evakuasi pada Isnin.
Terima bantuan Kedutaan Malaysia di Doha
Memetik laporan Bernama, kedutaan berkenaan memaklumkan bahawa sebelum perjalanan dimulakan, Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali, telah menyampaikan ucapan kepada kumpulan terbabit selain merakamkan penghargaan atas kerjasama serta sokongan semua pihak yang membantu memastikan operasi evakuasi berjalan lancar.
Pada Isnin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan kerajaan Malaysia kini berada pada peringkat akhir persiapan bagi melaksanakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di rantau berkenaan.
Operasi itu diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggesa supaya semua langkah segera diambil bagi menjamin keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terjejas, menurut MKN dalam satu kenyataan.
Ia berkata operasi tersebut akan diselaraskan melalui kerjasama rapat Kementerian Luar dengan Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
Menurut rekod Kementerian Luar, setakat 8 Mac lalu, seramai 641 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa negara terjejas di rantau itu, manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar melalui sistem e-Konsular setakat 7 Mac.
Artikel lain: Kedutaan Minta Rakyat Malaysia Tidak Keluar Rumah, Tangguh Perjalanan
Amerika Syarikat (AS) dan Israel dilaporkan terus melancarkan serangan berskala besar terhadap Iran sejak 28 Feb lalu, yang mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai kanan tentera, lapor Anadolu Ajansi (AA). Iran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset Amerika Syarikat (AS).
Sumber: Bernama







































