Program Semarak Ramadan MADANI peringkat kebangsaan telah dilancarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang pada Sabtu lalu.
Program itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sekali gus menandakan pelancaran rasmi inisiatif jualan Ramadan di bawah platform Pasar Tani dan juga outlet pemasaran FAMA seperti di RTC, Medan Niaga Satok serta Agrobazaar Rakyat dan Agrobazaar Kedai Rakyat yang berlangsung dari 7 hingga 18 Februari 2026 di seluruh negara.
Bermula tarikh tersebut, sebanyak 45 Pasar Tani di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengadakan program berkenaan, manakala negeri-negeri lain menyusul pada tempoh yang sama.
Ia bertujuan memberi peluang kepada rakyat membuat persediaan awal menyambut Ramadan dengan mudah, selesa, dan menjimatkan sambil menyokong pengeluar tempatan.
Apa yang menarik, program Semarak Ramadan MADANI menyediakan akses mudah kepada produk segar, barangan kering dan keperluan asas Ramadan terus daripada pengeluar tanpa melibatkan orang tengah, menjadikan harga lebih berpatutan serta kualiti produk sentiasa terjamin.
Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati Jualan Kombo, Jualan Turun Harga atau ‘happy hour’ pada waktu tertentu. Tawaran ini adalah terhad dan berbeza mengikut negeri, justeru pengunjung digalakkan hadir lebih awal untuk memanfaatkan penjimatan yang disediakan.
Kesemua inisiatif itu bagi memastikan pengunjung dapat membeli barangan berkualiti pada harga lebih rendah dengan kualiti serta kesegaran terjamin.
Malah, ia bukan sekadar platform jualan, tetapi juga memperkasakan pendapatan petani, penternak, nelayan dan usahawan tempatan, memberi peluang mereka menjual secara terus kepada pengguna, meningkatkan daya saing serta mengukuhkan pasar tani sebagai pusat bekalan utama sepanjang bulan Ramadan.
Lebih daripada itu, program Semarak Ramadan MADANI menyemai semangat berkongsi rezeki dan kebajikan, mengeratkan hubungan antara pengunjung dan pengeluar serta menggalakkan amalan kesyukuran sepanjang bulan mulia.
Dengan Ramadan yang semakin hampir, program itu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal, elak pembelian panik dan menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih teratur.
Untuk makluman, pasar tani diperkenalkan pada 1985 sebagai satu platform pemasaran untuk membuka saluran jualan serta menggalakkan usahawan tani memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada orang ramai.
Sebagai ‘Medan Pertemuan Pengeluar dan Pengguna’, ia membolehkan petani menikmati harga yang adil dan menguntungkan, sementara pengguna pula memperoleh produk bermutu pada harga berpatutan.
Secara keseluruhan, program Semarak Ramadan MADANI akan berlangsung di 680 lokasi pasar tani dan juga outlet pemasaran FAMA seperti di RTC, Medan Niaga Satok serta Agrobazaar Rakyat dan Agrobazaar Kedai Rakyat seluruh negara dengan penyertaan lebih 10,600 usahawan dan sasaran nilai jualan sebanyak RM50 juta.
Sehubungan itu, orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang mengunjungi program Semarak Ramadan MADANI yang dianjurkan di seluruh negara bagi mendapatkan bekalan makanan segar dan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan.







































