Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan Kemboja yang bakal disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, esok.
Sebelum ini, Anutin membatalkan lawatannya ke Malaysia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN hari ini berikutan kemangkatan Ratu Sirikit Kitiyakara.
Menteri-menteri luar ASEAN dijadualkan bertemu hari ini bagi memulakan siri diplomasi global di Kuala Lumpur, dengan delegasi dari AS dan China turut mengadakan rundingan perdagangan sempena sidang kemuncak itu.
PM Thailand Tangguh Lawatan, Akan Ke Malaysia Esok
Trump dijangka tiba di Kuala Lumpur esok sebagai perhentian pertama dalam lawatan ke Asia, dan akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, hasil mediasi beliau dalam konflik sempadan berdarah yang meragut nyawa selama lima hari pada Julai lalu.
Anutin menegaskan, beliau tetap akan ke Malaysia untuk menandatangani perjanjian itu sebelum pulang semula ke Thailand.
“Saya masih akan berangkat ke Malaysia esok bagi menandatangani perjanjian tersebut dan kembali ke Bangkok selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak APEC minggu depan di Korea Selatan.
Pada mesyuarat tahunan itu, ASEAN dijangka membincangkan usaha memperkukuh multilateralisme perdagangan serta mengukuhkan hubungan dengan rakan baharu, di samping menangani kesan tarif global yang diumumkan Trump.
Artikel lain: Ratu Sirikit Mangkat, PM Thailand Batal Lawatan Hadir Ke Sidang Kemuncak ASEAN
Dalam masa sama, ASEAN turut bersedia menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok itu.
Selain agenda serantau, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dijadualkan mengadakan rundingan perdagangan dengan delegasi China yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, He Lifeng.
Kedua-dua kuasa ekonomi besar dunia itu kini berusaha mencari jalan damai selepas Trump mengancam mengenakan tarif baharu sehingga 100 peratus ke atas barangan China serta sekatan perdagangan tambahan bermula 1 November, susulan kawalan eksport Beijing terhadap magnet dan mineral nadir bumi.
Sumber: Buletin TV3









































