Pihak Sekretariat Sumud Nusantara menegaskan orang ramai perlu berhati-hati dalam membuat pembelian atau sumbangan, susulan tularnya isu penggunaan logo rasmi mereka tanpa kebenaran.
“Segala urusan rasmi hanya dijalankan melalui NGO yang terlibat secara langsung serta melalui Laman Rasmi Sumud Nusantara,” katanya.
Menurut Sekretariat, tiada individu, jenama pakaian atau pihak ketiga yang diberi kebenaran menggunakan logo Sumud Nusantara bagi tujuan reka bentuk, jualan atau pengedaran merchandise.
Sebarang penggunaan tanpa kebenaran boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham serta menjejaskan kredibiliti misi kemanusiaan ini.
Sekretariat Tegaskan Penggunaan Logo Sumud Nusantara
Pihak berkenaan turut menegaskan bahawa penggunaan logo rasmi Sumud Nusantara tanpa kebenaran adalah sama sekali tidak dibenarkan.
“Segala urusan rasmi hanya disahkan melalui saluran rasmi Sumud Nusantara.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memuat naik, mengedarkan atau menjual sebarang baju, topi, jaket atau merchandise yang menggunakan logo Sumud Nusantara tanpa izin bertulis,”menurut kenyataan itu, hari ini.
Bagaimanapun, pihak berkenaan amat menghargai segala usaha dan semangat semua yang ingin memastikan misi ini berjalan lancar serta menimbulkan kesedaran mengenai isu Palestin.
Namun begitu, setiap sokongan mestilah disalurkan melalui saluran rasmi bagi menjamin ketelusan, keselamatan, dan keberkesanan misi ini.
Artikel lain: “Yakin Dengan Allah, Percaya Pada Rezeki” – Aisar Khaled Pesan Teruskan Bersuara Isu Kemanusiaan
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang pembelian atau berkongsi sebarang produk yang menggunakan logo Sumud Nusantara.
Pihak Sekretariat menekankan sokongan dan sumbangan hanya melalui saluran rasmi akan memastikan usaha yang disalurkan telus, selamat serta benar-benar sampai kepada pihak yang sepatutnya.
Sumber: FB Sumud Nusantara Official
