Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengsyaki pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melaka menjadi suspek utama penyelewengan dana RM26 juta sumbangan orang ramai bagi tujuan kebajikan.
SPRM mengsyaki pengerusi NGO suspek utama

Foto: Harian Metro
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu lima individu termasuk pengerusi dan pengurus kewangan NGO terbabit telah dibebaskan dengan jaminan selepas tujuh hari direman bagi membantu siasatan.
Beliau memaklumkan dana RM26 juta itu dipindahkan ke akaun individu lain yang dipercayai digunakan bagi membeli aset peribadi.
“Kita kesan suspek membelanjakan dana untuk diri sendiri termasuk membeli harta seperti tanah dan bangunan menggunakan sumbangan orang ramai bagi membantu masyarakat Syria dan tujuan kebajikan lain,” kata Azam di Putrajaya, hari ini.
Azam menjelaskan siasatan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Foto: Sinar Harian
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan semua transaksi dan harta diperoleh menggunakan dana tersebut,” katanya.
Menurut Azam, NGO itu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dikategorikan sebagai badan awam dalam konteks undang-undang SPRM.
“Justeru, sebarang penyalahgunaan kuasa oleh individu memegang jawatan dalam organisasi itu boleh disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Skandal Rasuah: Dua ADUN Sabah Bakal Didakwa – Azam Baki
Terdahulu, SPRM menahan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau setelah disyaki menyeleweng dana NGO mereka.
Untuk rekod, SPRM menyita pelbagai aset bernilai lebih RM8 juta, termasuk wang tunai melebihi RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000, akaun kripto kira-kira RM650,000 serta empat unit rumah bernilai lebih RM1.4 juta dalam operasi terbabit.
Sumber: Berita Harian
