Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala pada Disember 2023 disahkan berada dalam keadaan waras ketika melakukan jenayah itu.
Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah berkata, laporan pemeriksaan mental bertarikh 7 Februari 2025 daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengesahkan bahawa tertuduh Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44, tidak mengalami sebarang penyakit mental ketika kejadian berlaku.

Foto: Harian Metro
“Tertuduh disahkan berada dalam keadaan mental yang waras ketika kejadian pada 9 Disember 2023 dan sedar akan sifat serta akibat daripada perbuatannya itu serta mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan itu adalah salah dan bertentangan daripada segi undang-undang.
“Keadaan mental tertuduh adalah stabil pada tarikh laporan ini ditulis. Tertuduh layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu untuk membela diri,” kata Izalina pada prosiding sebutan kes hari ini.
Tambahnya, Afendi layak untuk dibicarakan dan mampu membela diri berdasarkan keadaan mentalnya yang stabil ketika laporan dibuat.
Sementara itu, peguam bela Mohd Ruzaini Zulkifli yang mewakili Afendi mengesahkan dapatan laporan berkenaan dan memaklumkan bahawa anak guamnya kekal dengan pengakuan bersalah.
Ekoran itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi pembentangan fakta kes dan hukuman, memandangkan barang kes belum dibawa ke mahkamah.
Hakim Muniandy kemudian menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh untuk mendengar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, pada 6 September 2024, Afendi tetap mengaku bersalah atas dua pertuduhan membunuh walaupun berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian kedua-dua ibu bapanya, iaitu pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan isterinya, Darlisma Njatu Saleh, 72, di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, pada jam 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Disember 2023.

Foto: freemalaysiatoday
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kejadian tragis itu terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan keluarga sekitar jam 7.43 malam hari kejadian.
Pasangan warga emas tersebut ditemui mati di ruang tamu rumah mereka dengan kesan tikaman pada tubuh dan susulan siasatan, Afendi ditahan dan didapati mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Ujian saringan air kencing turut mendapati tertuduh positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.
Sumber: Harian Metro (Suraya Roslan)
