Seorang pembantu rumah Indonesia melahirkan anak secara tiba-tiba di kediaman majikannya sehingga mengejutkan keluarga tersebut baru-baru ini.
Foto: Facebook
Menurut laporan New Straits Times, keluarga yang menetap di Hsinchu, Taiwan itu tidak menyedari kehamilan pembantu rumah mereka kerana wanita tersebut sering berpakaian longgar.
Keluarga tersebut memaklumkan, wanita tersebut diupah untuk menjaga seorang warga emas dalam tempoh lima bulan.
Foto: Facebook
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didedahkan keluarga terbabit menunjukkan pembantu rumah mereka sedang melahirkan bayi di atas katil warga emas tersebut pada 11 September lalu.
Warga emas yang berada di kerusi roda dikatakan menyaksikan kejadian itu selepas menyedari kedengaran tangisan bayi dalam bilik berkenaan.
Seorang pengguna media sosial yang memuat naik rakaman itu menjelaskan bahawa undang-undang Taiwan tidak mewajibkan ujian kehamilan untuk pekerja asing.
Pada masa sama, pembantu rumah tersebut menggunakan dokumen perubatan palsu untuk lulus saringan pekerja asing.
“Pembantu itu sepatutnya membuat pemeriksaan kesihatan sebelum datang ke Taiwan, tetapi dia didakwa menggunakan dokumen perubatan rakannya untuk lulus saringan bagi pekerja asing.
“Sekarang, kami bertanggungjawab menjaga kedua-dua pembantu dan bayinya,” kata pemilik akaun yang memuat naik video rakaman CCTV tersebut.
Peraturan di Taiwan melarang pemecatan pekerja asing yang hamil atau baru bersalin dan boleh dikenakan denda NT$1.5 juta (RM200,339) dan hilang kelayakan mengambil pekerja baru untuk tempoh tertentu sekiranya majikan melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Persatuan Keluarga dan Majikan Antarabangsa Taiwan memaklumkan bahawa bayi berkenaan akan dihantar pulang kepada bapanya di Indonesia, manakala ibunya akan terus bekerja dengan keluarga di Taiwan.
Mereka juga menegaskan bahawa faedah insurans kesihatan turut meliputi pekerja asing dan bayi mereka di Taiwan.
“Wanita itu akan terus bekerja dengan keluarga tersebut di Taiwan.
“Faedah perlindungan insurans kesihatan disediakan untuk pekerja asing itu di Taiwan dan bayinya yang baru lahir,” kata persatuan itu.
Sumber: New Straits Times, Facebook 社團法人台灣失能者家庭暨看護雇主國際協會(雇主協會)