Seorang pelajar semester lima di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Jeli didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan melakukan seks oral dan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar IPT mengaku tidak bersalah
Menurut laporan Kosmo! tertuduh, Muhammad Yushakimi Jamaludin, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Foto: Kosmo!
Pertuduhan pertama mendakwa tertuduh melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun 10 bulan di dalam kereta Perodua Myvi berwarna putih di kawasan tempat letak kereta Lata Janggut, Jeli, pada pukul 2.30 petang, 29 November lalu.
Artikel lain: Kes Rogol Di Baling: Empat Remaja Didakwa Amang Seksual Pelajar Perempuan
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 377B yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.
Ia mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh diwakili peguam, Habibah Wahab.

Foto: Sinar Harian
Siti Aiysha mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan. Bagaimanapun, Habibah memaklumkan keluarga tertuduh hadir di mahkamah dan bersedia menyediakan wang ikat jamin RM5,000.
Peguam itu juga menegaskan tertuduh adalah anak bongsu daripada lima beradik, masih bergantung kepada ibu bapa yang sudah bersara, dan mempunyai baki dua semester untuk menamatkan pengajian.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh dan teman wanitanya ditahan selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kampung Rabbana, Jeli pada 29 November lalu.
Mereka dipercayai tidak sempat melakukan hubungan tidak bermoral di dalam kereta.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati suspek mengambil mangsa di hadapan sekolah dan berhenti di tepi jalan Kampung Sungai Rual untuk melakukan perbuatan itu.
Walaupun Remaja tersebut dipercayai bersetuju, mereka terkejut dengan kehadiran polis yang sedang membuat rondaan.
Polis menahan pasangan itu selepas mengejar kereta mereka kira-kira lima kilometer, apabila enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan.
Sumber: Kosmo! (Muhammad Ayman Ghaffa)







































