Pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis sementara menunggu laporan penuh bedah siasat membabitkan pempengaruh media sosial Taiwan, Hsieh Yun Hsi, dilengkapkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tempoh pembebasan yang diberikan terhadapnya adalah sehingga 26 November ini.
“Beliau dibebaskan (dengan jaminan polis) sehingga 26 November.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sebaik laporan itu siap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namewee Dibebaskan, Siasatan Dirujuk Semula
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan Namewee dibebaskan dengan jaminan polis berikutan tiada bukti menunjukkan dia terbabit dalam kes pembunuhan pempengaruh berkenaan.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan arahan untuk siasatan lanjut sudah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebarang penemuan baharu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas menerima lanjutan hasil siasatan.
Namewee direman selama enam hari sejak 5 November lalu sebelum tempoh itu dilanjutkan tiga hari lagi sehingga hari ini.
Artikel lain: Namewee Dipercayai Ada ‘Hubungan Istimewa’ Dengan Pempengaruh Taiwan Yang Maut
Media sebelum ini melaporkan bahawa Namewee merupakan individu terakhir yang dikatakan berada bersama mangsa sebelum mayat wanita itu ditemui dalam tab mandi sebuah hotel pada 22 Oktober lalu.
Kes tersebut pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum dibuka semula sebagai siasatan kes bunuh.
Namewee turut ditahan kerana disyaki memiliki dan menggunakan dadah, selain pernah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu.
Sumber: Kosmo! Online (Muhammad Najieb Ahmad Fuad), FB Sin Chew Daily










































