Baru-baru ini, penceramah bebas, Ustaz Abdullah Khairi ada mengatakan bahawa dirinya telah dihalang daripada menyertai program Forum Perdana Ehwal Islam yang sepatutnya berlangsung di Masjid Kampung Baru.
Digam oleh stesen televisyen?
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh beliau menerusi satu hantaran di Facebook dan mengatakan dia telah digam dari memberikan ceramah di program-program Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).
Bukan dibawah kawalan KKD
Walau bagaimanapun, menerusi laporan dari Berita Harian, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil memaklumkan yang tetamu bagi program agama yang disiarkan di RTM bukan di bawah kawalan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
“Senarai jemputan program agama bukan di bawah KKD,” jawabnya ringkas.
Dihalang untuk menyertai Forum Perdana Ehwal Islam
Jawapan itu dibuat susulan daripada kenyataan daripada Ustaz Abdullah Khairi yang mendakwa dirinya digam sejak dari pentadbiran kerajaan terdahulu lagi.
Setelah bertukar kerajaan, beliau akui tidak sangka masih lagi tidak boleh bersiaran di kaca televisyen sehingga pihak televisyen menghalangnya menyampaikan ceramah di dua masjid berbeza.
Bukan ahli politik pun nak kena gam
Ustaz Abdullah meluahkan rasa kesal memandangkan beliau bukanlah ahli politik atau ahli jawatankuasa dalam mana-mana parti dan berada di Mekah sejak dua bulan yang lalu.
Ujarnya, jika ingin membatalkan penyertaannya dalam program tersebut, lebih elok jika dimaklumkan awal kerana ia sedikit sebanyak telah mengganggu jadual yang telah disiapkan.
Beliau juga telah meletakkan tanda pangkah di poster yang tertera wajahnya untuk memaklumkan perkara tersebut kepada semua.
Untuk makluman, berdasarkan poster forum bertajuk “Taqwa Pemangkin Kesejahteraan: Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera” itu, beberapa penceramah lain turut dijemput seperti pendakwah bebas, Ustaz Haslin Baharim dan pensyarah di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, manakala Ustaz Zakaria Othman bertindak sebagai moderator.
Sumber: Berita Harian (Zanariah ABD Muthalib)