Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming memaklumkan yang agenda pemerkasaan kerajaan tempatan menjadi fokus utama Mesyuarat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri-Negeri (MEXCOPT) Tahun 2024.
Perkara tersebut dinyatakan beliau sewaktu mempengerusikan (MEXCOPT) 2024 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung pada 23 Januari 2024 baru-baru ini.
Empat agenda utama yang diberi penekanan
Difahamkan, beberapa agenda dan fokus penting telah ditekankan oleh YB Kor Ming iaitu meliputi empat perkara:
-
10 PBT rintis dipilih untuk menabahbaikan inisiatif baharu
Sebanyak 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) rintis telah dipilih bagi cadangan penambahbaikan inisiatif baharu iaitu Industrial Green Lane, Prerequisite dan Self-Regulation bagi mengukuhkan kecekapan dan memperkemaskan proses serta prosedur One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus dan seterusnya mewujudkan keseragaman bagi semua PBT.
Secara keseluruhannya, pada tahun 2024, KPKT menyasarkan pelaksanaan inisiatif baharu ini bagi 50 PBT merangkumi 20 PBT bertaraf bandar raya dan 30 PBT lain.
-
Transformasikan tandas awam seliaan PBT
Dalam usaha mentransformasikan tandas awam seliaan PBT agar bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW), KPKT sedang mempertimbangkan cadangan supaya lesen operasi tidak diperbaharui bagi premis yang gagal memperolehi sijil tandas bertaraf BMW.
Inisiatif ini dicadangkan untuk dilaksanakan terlebih dahulu oleh PBT bertaraf bandar raya pada tahun 2024 dimana ia merupakan langkah persediaan bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
-
Pembangunan EVCB
Dalam usaha pembangunan 10,000 buah petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) menjelang tahun 2025, KPKT memaklumkan bahawa Malaysia kini mempunyai 1,434 buah petak pengecasan kenderaan elektrik di seluruh negara.
Oleh itu beliau meminta kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan untuk mempergiat usaha dari segi perancangan dan kelulusan bagi pembangunan EVCB di PBT.
-
Perkenalkan Inisiatif MyKiosk MADANI
KPKT juga telah memperkenalkan Inisiatif MyKiosk MADANI bertujuan memulihkan dan meningkatkan tahap ekonomi penjaja dan peniaga kecil melalui penyediaan ruang niaga yang seragam di lokasi yang dibenarkan, selamat dan merupakan tempat tumpuan awam.
Sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 untuk pelaksanaan MyKiosk 2.0 bagi tahun 2024.
MEXCOPT sebagai platform eratkan Kerajaan Persekutuan & Negeri
Dalam pada itu, YB Kor Ming juga menyatakan yang sokongan dan komitmen tinggi daripada kesemua Exco-Exco negeri dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan diperlukan bagi memastikan agenda dan fokus KPKT dapat dijayakan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MEXCOPT) yang diadakan secara tahunan ini merupakan platform untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Kerjasama ini melibatkan hal – hal berkaitan aspek perumahan, kerajaan tempatan, pemantauan pelaksanaan dan prestasi program serta projek pembangunan KPKT di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Mesyuarat telah dihadiri oleh Exco Perumahan Kerajaan Tempatan Negeri – Negeri dan wakil Jabatan Wilayah serta wakil Kerajaan Negeri merupakan satu bukti komitmen dalam memastikan perancangan dalam hala tuju Kerajaan Negeri bergerak seiring dengan Kerajaan MADANI demi semangat stronger together.