Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya remaja berusia 13 tahun itu dimasukkan ke dalam mesin basuh, menyifatkannya sebagai spekulasi.
Dakwaan dimasukkan dalam mesin basuh
Menurut laporan Harian Metro,peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, ibu kepada Zara iaitu Noraidah Lamat tidak pernah memberi maklumat seperti itu kepada mana-mana pihak.
Bagaimanapun, mereka menggesa wanita yang membuat dakwaan tersebut supaya dapat menyalurkan maklumat terbabit kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.
“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan dengan kes Zara, pertama, kami ingin membuat kenyataan, video seorang wanita menceritakan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi.
“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 jam 8 pagi pada 16 Julai 2025 juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang dari anak guam kami,” katanya.

Foto: Harian Metro
Sementara itu, kedua-dua peguam turut mengingatkan bahawa penyebaran gambar pelajar sekolah serta kenyataan negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, selain Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Artikel lain: Peguam Sahkan Audio Perbualan Zara Qairina Dan Ibu Adalah Rakaman Sebenar
Sejak beberapa hari lalu, dakwaan tersebut tular di media sosial antaranya mengaitkan kecederaan Zara dengan tekanan mesin basuh, kononnya digunakan oleh pembunuh untuk menghapuskan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA).
“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran sedemikian, kami memohon agar memadam video dan gambar terbabit. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis untuk tujuan siasatan,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro (Latifah Arifin)
