Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri itu yang ditahan semalam, dipercayai kerana memukul isterinya sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata beliau sudah dihubungi EXCO terbabit yang memohon maaf atas perkara yang berlaku dan menyatakan ia adalah masalah rumah tangga antara pasangan suami isteri.
“Difahamkan, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan saya difahamkan Yang Berhormat (EXCO) juga memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menyiasat laporan ini,” katanya.
Kerajaan Pulau Pinang Serah Siasatan
Terkini, beliau dimaklumkan kedua-dua pihak menarik balik laporan masing-masing.
“Jadi setakat ini, itu sahaja yang saya boleh nyatakan dan jika ada apa-apa perkembangan, kita berharap YB sendiri akan sentiasa memberi maklum balas kepada kami (kerajaan negeri) atau parti,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan itu selepas menghadiri Majlis Tahlil dan Buka Puasa anjuran Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada EXCO terbabit perlu mengambil cuti bertugas atau sebaliknya, Chow berkata kerajaan negeri memandang berat isu yang berlaku, namun menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.
“Saya rasa polis sudah mendapatkan kenyataan dan sebagainya. Pada peringkat ini, kita tunggu mereka fikirkan apakah tindakan seterusnya yang terbaik untuk keluarga mereka.
“Jika kedua-dua suami isteri mempunyai apa-apa rancangan atau tindakan seterusnya, kita menghormati proses itu,” katanya.
Artikel lain: 122 Projek Sambungan Dirancang Di Pulau Pinang Pada 2026, Menteri Harap Berjalan Lancar
EXCO berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan pegawai polis pada jam 6 petang semalam, namun telah dibebaskan dengan jaminan.
Sumber: Harian Metro (Nur Izzati Mohamad)










































