Kes pembunuhan melibatkan pasangan suami isteri yang ditemui maut di sebuah rumah di Sri Aman pada 14 Januari lalu disahkan telah selesai, dengan kemurungan jadi punca utama kejadian tersebut berlaku.
Kemurungan jadi punca kematian pasangan suami isteri
Memetik laporan daripada Berita Harian, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah menyatakan hasil siasatan mendapati si mati dipercayai mengalami tekanan emosi sejak berpindah bertugas ke sebuah sekolah di Lubok Antu.
Kemurungan jadi punca, guru besar alami tekanan emosi
Menurut beliau, siasatan terperinci termasuk keterangan ahli keluarga, rakan serta rakan sekerja, selain analisis forensik ke atas senjata tajam yang digunakan, tidak menemui sebarang unsur jenayah lain atau pembabitan pihak ketiga.
“Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui pada senjata tajam itu, justeru rumusan yang kita boleh buat ialah pembunuhan itu hanya membabitkan pasangan suami isteri itu,”
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan melibatkan rakaman keterangan 30 saksi termasuk ahli keluarga, jiran serta rakan sekerja, selain pakar patologi yang menjalankan bedah siasat.
“Apa yang boleh kami simpulkan, kes itu sudah selesai kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan pecah rumah atau barangan yang hilang jika ia kes samun.
“Polis kini hanya menunggu keputusan pemeriksaan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa dan laporan itu nanti mungkin membolehkan kami mengetahui lebih lanjut motif sebenar kejadian itu selain kemurungan,”
Artikel lain: Lelaki Maut Kereta Terbabas, Terjunam Ke Dalam Lubang Pembentungan
Dalam kejadian tersebut, pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.
Lelaki berkenaan merupakan seorang guru besar manakala isterinya bekerja sebagai jururawat dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.









































