Kes buli membabitkan seorang pelatih kategori orang kelainan upaya (OKU) di GiatMara Durian Tunggal telah disahkan adalah kejadian lama dan perkara itu sudah diselasaikam antara mangsa dan semua pelajar terlibat.
Kasari pelatih OKU kes lama
Menurut laporan MalaysiaGazzete, Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman memberitahu kejadian tersebut berlaku pada Februari lalu namun telah tular di media sosial semalam sehingga mencetuskan kerisauan dalam kalangan masyarakat.
“Berdasarkan hasil siasatan saya kes ini dah lama berlaku sekitar Februari lalu dan sebenarnya pelajar yang terlibat pun sudah dipanggil oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Keterangan semua telah diambil malah semua pelajar terlibat pun sudah meminta maaf dan meneruskan kursus kemahiran menjalani latihan loji,”
“Kes terbabit dianggap selesai manakala pelatih itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Rahmad hari ini.
Sementara itu, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi respons balas berhubung kes terbabit dengan memberitahu pengurusan GiatMara Negeri Melaka akan memanggil dan berjumpa dengan kesemua individu teribat dalam video tular tersebut.
Beliau juga berkata pelatih yang dipercayai menjadi mangsa buli itu juga akan dipanggil untuk membantu siasatan dengan lebih terperinci berdasarkan prosedur pengurusan pelatih sedia ada.
“Saya tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal atau mental.
“Tiada tempat buat pembuli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA). Pengurusan MARA di semua peringkat dan IPMA amat memahami prinsip saya ini.
“Tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak pengurusan jika didapati wujud salah laku dan jenaah buli tersebut,” kata Asyraf dalam satu kenyataan pada Ahad.
Artikel lain: Cemburu Dipercayai Punca, KPM Siasat Kes Buli Pelajar Perempuan Dalam Tandas
Terdahulu, media melaporkan seorang pemuda memuat naik sebuah video memaparkan seorang pelajar OKU lelaki yang mempunyai masalah pembelajaran telah menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar lain.
Menerusi video berdurasi dua minit itu, pemuda berkenaan mengakui terkejut apabila pelajar OKU terbabit yang baru dikenali di gelanggang badminton menceritakan kejadian itu kepadanya.
Sumber: MalaysiaGazette (Reza A Hamid)
