Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi antara agensi penguat kuasa terawal menyahut tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memburu secara agresif individu disyaki bertindak sebagai orang tengah bagi menyogok mana-mana agensi kerajaan dan penguat kuasa.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, berkata fokus utama agensi itu ketika ini adalah menumpaskan rangkaian ejen dan orang tengah yang berperanan secara sistematik mengurus hubungan antara sindiket dan penguat kuasa.
JPJ Sahut Tindakan Tegas SPRM
Menurutnya, golongan berkenaan dipercayai melindungi lori-lori milik sindiket daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kerjasama strategik bersama JPJ ini akan diperkasakan dari semasa ke semasa, termasuk melalui operasi bersama, pertukaran maklumat serta pelaksanaan program pencegahan bagi menutup ruang dan peluang kepada ejen serta orang tengah untuk terus beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.
Sebelum ini, Ahmad Khusairi mendedahkan ejen dan orang tengah dipercayai mengaut keuntungan lebih besar berbanding penjawat awam yang hanya menerima sebahagian kecil wang rasuah.
Beliau memberi contoh kes rasuah membabitkan penguat kuasa yang membawa masuk migran dengan bayaran RM6,000, namun pegawai terlibat hanya memperoleh kurang RM1,000 manakala selebihnya diambil ejen.
Sementara itu, Aedy Fadly memberi komitmen penuh bahawa JPJ akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM, termasuk berkongsi maklumat risikan, memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol dengan sindiket.
Artikel lain: Kementerian Pengangkutan lantik anak syarikat Ramssol jadi ejen kutipan JPJ
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan langkah memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berkesan, menyeluruh dan berintegriti.
Turut hadir Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin; Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan; serta Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































