Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Syed Isfan Syed Mohammad yang parah selepas terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan, semalam telah menjalani sebanyak tiga pembedahan penting.
Isterinya, Rasidah Suhada Zulkifli memaklumkan, pembedahan itu membabitkan bahagian organ, pundi kencing serta tulang pinggul Syed Isfan.
Katanya, Syed Isfan telah melalui pembedahan bahagian perut dan dada kerana ususnya naik ke atas dan menghimpit paru-paru, hati dan limpa.
“Alhamdulillah, doktor berjaya membetulkan semua kedudukan organ tersebut kepada asal.
“Empat tulang rusuknya yang retak tidak dapat dirawat melalui pembedahan dan kemungkinan akan sembuh dengan sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Isteri Mangsa Nahas FRU Sebak Suami Bertarung Nyawa
Rasidah Suhada turut berkongsi bahawa pundi kencing suaminya mempunyai tiga bahagian yang bocor dan telah terkena jangkitan kuman.
Menurutnya, doktor telah memasukkan tiub dalam saluran antara buah pinggang dan pundi kencing, serta menebuk tiub di bahagian luar.
“Sekarang dia kencing mengikut tiub, manakala saluran kencing biasa masih lagi rosak dan mungkin akan mengambil masa untuk doktor melakukan pembedahan pada bahagian tersebut.
“(Pada bahagian) tulang pinggul patah, doktor telah memasukkan plat besi tetapi tidak dapat melakukan pembedahan pada bahagian mangkuk pinggul lagi. Perlu tunggu dia stabil dahulu,” katanya.
Jelasnya lagi, Syed Isfan perlu menjalani sebanyak dua lagi pembedahan selepas ini, namun dia bersyukur apabila suaminya menunjukkan perkembangan positif.
“InshaaAllah dia kuat, mungkin semalam saya sedih dan bimbang tapi harini saya reda dan bersyukur sebab ada keajaiban berlaku berkat daripada doa semua.
“Kalau ikutkan banyak risiko dia kena lalui tapi semua risiko pendarahan, risiko buang limpa dan potong usus dapat ditangani. Semua berjalan lancar,” katanya.
Artikel lain: Anak Anggota FRU Usia 12 Tahun Imamkan Solat Jenazah Bapa
Terdahulu, Syed Isfan dilaporkan telah selesai menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan kini berada dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Syed Isfan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota yang cedera dalam kemalangan membabitkan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, lapan anggota FRU maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.
Sumber: FB Rasidahsuhada Zulkifli
