Kepercayaan yang dibina bertahun lamanya boleh runtuh dalam sekelip mata apabila amanah disalahgunakan. Itulah kenyataan pahit yang terpaksa dihadapi oleh YouTuber terkenal, Isa Isarb, apabila individu yang selama ini dianggap seperti keluarga sendiri bertindak di luar jangkaan.
Isteri staf Isa Isarb, mengadu suami tak balik rumah tiga bulan
Isa Isarb mendedahkan bahawa seorang staf naungannya, dikenali sebagai ‘Aiman Pt.2’, dipercayai telah menyalahgunakan wang syarikat dalam jumlah besar demi kepentingan peribadi. Pendedahan itu menjadi tular selepas pihak pengurusan mengambil tindakan tegas dengan menggantungkan Aiman selama dua bulan.
Menurut perkongsian Isa di TikTok, kejadian mula menimbulkan tanda tanya ketika pasukannya bersiap untuk projek di Sarawak. Aiman yang sepatutnya turut serta gagal muncul, dan memberikan alasan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Artikel lain: Rumah Pempengaruh Dipecah Masuk, RXZ Dan Emas RM300,000 Hilang Sekelip Mata
Isa kemudian mengarahkan pembelian tiket baharu supaya projek tetap berjalan lancar.
Namun, alasan demi alasan terus muncul. Aiman kemudiannya mendakwa dia ditahan pihak imigresen kerana rakannya membawa barangan terlarang.
Kebimbangan Isa memuncak apabila usaha menjejaki keberadaannya di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 tidak membuahkan hasil, malah pihak berkuasa lapangan terbang juga tiada rekod berkaitan individu tersebut.
Lebih mengejutkan, mesej WhatsApp yang dihantar tidak berbalas. Isteri Aiman kemudian menghubungi Isa, mendedahkan bahawa suaminya sudah tidak pulang ke rumah selama hampir tiga bulan.
Isa turut berkongsi bahawa dia merasa amat terkilan kerana selama ini menganggap Aiman sebagai pekerja yang sangat berdedikasi.
“Sebelum insiden ini, Aiman memang dikenali sebagai pekerja cekap dan boleh diharap. Namun sejak kebelakangan ini, disiplin kerjanya mula merosot, sering hadir lewat dan memberi alasan yang sukar diterima,” katanya.
Pemeriksaan dalaman syarikat mendedahkan bahawa Aiman memegang kira-kira RM230,000 wang syarikat, di mana sebahagiannya digunakan untuk projek, manakala selebihnya didakwa dibelanjakan tanpa bukti perbelanjaan yang sah.
Menurut Isa, wang itu digunakan untuk tempahan hotel sepanjang 17 hari, pemberian kepada rakan dan keluarga, pelaburan Forex, serta perbelanjaan peribadi lain. Malah, terdapat vendor dan homestay projek yang gagal dijelaskan bayaran mereka.
“Sebahagian wang memang digunakan untuk urusan kerja, tapi ada perbelanjaan yang tiada resit dan ada yang jelas untuk kegunaan peribadi. Itu yang paling menyakitkan,” ujarnya.
Susulan penemuan itu, pihak pengurusan mengambil keputusan menggantung Aiman selama dua bulan.
isa isarb mengakui bahawa kejadian tersebut memberi kesan emosi yang besar, sekaligus menjadi pengajaran bahawa amanah bukan sekadar tanggungjawab, tetapi nilai yang perlu dijaga dengan kejujuran, walau setinggi mana kepercayaan yang diberikan.
Sumber: TikTok @isaisarbofficial







































