Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks naik kepada 135.7 berbanding 133.6 pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong oleh empat kumpulan utama, didahului penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan yang meningkat 6.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada Disember 2025.
“Ini diikuti oleh pendidikan yang menokok 3.2 peratus (Disember 2025: 2.8 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang meningkat 1.2 peratus (Disember 2025: 0.9 peratus) dan rekreasi, sukan dan budaya naik 0.9 peratus (Disember 2025: 0.8 peratus).
“Minuman beralkohol dan tembakau (2.5 peratus) serta kumpulan makanan dan minuman (1.5 peratus) mencatatkan kenaikan, peningkatan yang sama dicatatkan bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Inflasi Malaysia Meningkat 1.6 Peratus Pada Januari 2026
DOSM memaklumkan kira-kira 62 peratus barangan atau 355 daripada 573 item mencatatkan kenaikan harga, dengan 346 barangan (97.5 peratus) meningkat sebanyak 10 peratus atau kurang.
Hanya sembilan barangan menyaksikan peningkatan melebihi 10 peratus pada Januari 2026, manakala 173 barangan (30.2 peratus) mencatatkan penurunan dan 45 barangan kekal tidak berubah.
Dari segi harga bahan api, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Januari 2026 ialah RM3.11 seliter, lebih rendah berbanding RM3.24 seliter pada Disember 2025.
“Sementara itu, purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.89 seliter berbanding RM3.03 seliter pada Disember 2025 (Januari 2025: RM3.06 seliter).
“Bagaimanapun, purata harga diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
“Harga pasaran purata RON95 naik kepada RM2.54 seliter (Disember 2025: RM2.62 seliter) berbanding harga subsidi RM1.99 seliter,” katanya.
Tiga negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi negara 1.6 peratus bulan lepas, iaitu Johor (2.1 peratus), Negeri Sembilan (2.0 peratus) dan Pahang (1.9 peratus).
Bagaimanapun, inflasi negeri-negeri lain adalah di bawah atau sama dengan kadar kebangsaan, dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah sebanyak 0.3 peratus.
Beliau berkata, semua negeri merekodkan kadar inflasi lebih tinggi untuk makanan dan minuman kecuali Kelantan (-0.3 peratus), manakala empat negeri dan Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan berbanding inflasi makanan dan minuman kebangsaan (1.5 peratus) pada Januari 2026.
“Kenaikan tertinggi dicatatkan oleh Negeri Sembilan (3.2 peratus), diikuti oleh Pahang (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Kuala Lumpur (2.0 peratus) dan Melaka (1.7 peratus), manakala negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah atau sama dengan inflasi kadar kebangsaan bagi makanan dan minuman,” katanya.
Bagi prestasi bulan ke bulan, DOSM berkata inflasi keseluruhan pada Januari 2026 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding 0.3 peratus pada Disember 2025.
Kumpulan yang mencatatkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya ialah penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.0 peratus), pendidikan (0.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.3 peratus), perkhidmatan restoran dan penginapan (0.3 peratus) serta rekreasi, sukan dan budaya (0.2 peratus).
Artikel lain: MPPN Sokong KPDN, Larangan Pembelian RON95 Untuk Kenderaan Plat Asing Wajar & Adil
Dalam pada itu, tiga kumpulan mencatatkan penurunan iaitu pengangkutan (-0.4 peratus), perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (-0.1 peratus) dan maklumat serta komunikasi (-0.1 peratus).
Berbanding negara lain, kadar inflasi Malaysia 1.6 peratus adalah lebih rendah berbanding Indonesia (3.6 peratus), Vietnam (2.5 peratus) dan Korea Selatan (2.0 peratus), namun lebih tinggi berbanding Thailand yang mencatatkan -0.7 peratus.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.













































