Indonesia merancang untuk menghantar jururawat ke Malaysia susulan perkembangan pesat hospital swasta di negara ini, menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mohammad Iman Hascarya Kusumo.
Cadang hantar jururawat ke Malaysia
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan cadangan itu masih di peringkat awal perbincangan dan akan dipastikan melalui libat urus rasmi kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi mengisi kekosongan jururawat di hospital swasta Malaysia.
“Ada permintaan jururawat Indonesia ke Malaysia. Bagaimanapun, belum ada perbincangan atau libat urus G2G antara kedua-dua negara.
“Setakat ini lebih kepada perbincangan tidak rasmi saja.
“Kita berhasrat untuk memulakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana perlu pastikan jururawat kami mengikut dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya ketika majlis berbuka puasa bersama media.
Mohammad Iman menambah, Lembaga Jururawat Indonesia juga diminta untuk berbincang perkara tersebut dengan rakan sejawat di Malaysia.
“Lembaga Jururawat Indonesia juga diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat mereka di Malaysia mengenai hal ini. Apa yang kita mahu adalah untuk memastikan jururawat kami di tahap profesional kerana kerja seperti ini bukan ‘non skill labour’ (tenaga kerja tidak mahir).
“Justeru, kita berharap perbincangan G2G antara Indonesia-Malaysia dapat dilakukan secepat mungkin pada tahun ini kerana sudah ada permintaan untuk jururawat kita,” katanya.
Artikel lain: Indonesia Cadang Hospital Malaysia Ambil Jururawat Mereka, Yakin Beri Manfaat Dua Hala
Difahamkan, Johor antara negeri yang memerlukan ramai jururawat dari Indonesia, dengan kumpulan pertama dijangka melibatkan lebih 100 orang.
Permintaan ini juga disebabkan sambutan menggalakkan pelancongan perubatan, dengan pesakit Indonesia menyumbang 64.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancongan perubatan di Malaysia pada 2024 menurut tinjauan TA Securities.
Beliau turut menekankan bahawa pengukuhan ringgit memberi implikasi kepada aliran pelancong, termasuk limpahan ekonomi bagi Indonesia melalui kunjungan lebih ramai pelancong Malaysia ke republik itu.








































