Pernah diuji dengan kehilangan bayi lelaki dalam satu tragedi di taska, bapa dan ibu kepada bayi Al Fateh sekali lagi berdepan detik sukar apabila salah seorang daripada tiga bayi kembar mereka berusia tiga bulan dilaporkan kritikal.
Menerusi perkongsian di Facebook, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri, 41, berkongsi keadaan anaknya iaitu Maryam Al Khawla yang lahir Oktober lalu semakin tenat.
Oleh itu, beliau dan keluarga meminta doa orang ramai agar ada keajaiban untuk anaknya kembali sembuh.
Bayi kembar kritikal
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla (kembar nombor dua).
“Keadaannya tenat dan semakin lemah. Semoga ada keajaiban dan syifa’ atas berkat doa kalian semua. Hanya doa kalian yang kami pinta, doakan kami terus kuat tempuhi ujian,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Difahamkan, Khawla itu dirawat di Hospital Melaka sejak dilahirkan pada 24 Oktober lalu kerana lahir pramatang.
“Dah 90 hari Khawla berjuang. Doakan khawla terus kuat utk melawan infection kali ke 4 ini.
“Bacaan kuning naik dua kali ganda berbanding semalam. Mata dah kuning, perut pun dh semakin membesar. Doktor menggunakan low dose ubat tidur tetapi Khawla sangat lemah dan tidak aktif.
“Selepas blood tranfussion dan masukkan immunoglobulin bilangan rbc dan platlet meningkat. Dah tiada lagi keluar darah dari mulut macam semalam,” tulis ibu Khawla.
Terdahulu, isteri Mohd Fikry, Sabrina Hakiem, 41, menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada Februari tahun lalu menerusi kurniaan khas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sabrina yang juga seorang guru selamat melahirkan tiga bayi perempuan secara pembedahan di Hospital Melaka pada Oktober tahun lalu.
Bayi pertama seberat 1.8 kilogram dilahirkan pada jam 9.40 pagi, diikuti bayi kedua seberat 1.78 kilogram pada jam 9.42 pagi dan bayi ketiga seberat 1.93 kilogram pada jam 9.46 pagi.
Artikel lain: Bapa Al Fateh Mohon Doa Bayi Kembar 3 Masih Di NICU -“Kami Pasrah Dengan Ujian”
Sebelum ini, tular di media sosial kisah pasangan suami isteri ini menerusi tanda pagar #JusticeForAlFateh selepas anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Al Fateh, meninggal dunia di sebuah taska.
Pada September 2024, media melaporkan Muhammad Al Fateh yang berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh pengasuh, termasuk disumbat botol susu ke dalam mulut serta ditutup muka dengan bantal sehingga mengakibatkan kematian. Zuriat itu adalah penantian selama 13 tahun sepanjang mendirikan rumah tangga.
Sumber: Facebook Mohd Fikry Amri







































