Seorang ibu mengundang sebak warga sekolah apabila hadir mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) milik anaknya yang telah meninggal dunia, sekali gus meninggalkan kenangan mendalam buat guru dan rakan-rakan.
Luahan menyentuh hati itu dikongsikan seorang guru dikenali sebagai Cikgu Zie menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin, hari keputusan SPM 2025 diumumkan.
Menurutnya, semalam adalah hari penuh debaran buat semua calon SPM 2025 termasuk para guru, namun suasana bertukar hiba apabila ibu kepada Allahyarham Muhammad Fithri Rashid Mohamad Adli Rashid hadir sebagai wakil untuk mengambil keputusan peperiksaan anaknya.
“Arwah tak sempat nak tengok keputusan dia. Hari ini mak arwah datang ambil keputusan arwah… keputusan yang sangat ‘tidak disangka’. Matematik A-, memang cikgu sasar dia A. Alhamdulillah,” tulisnya.
Cikgu Zie turut memaklumkan ibu kepada Allahyarham menunjukkan ketabahan yang luar biasa ketika hadir ke sekolah, meskipun jelas kehilangan anak tersayang masih dirasai.
Katanya, guru dan rakan-rakan Allahyarham tidak dapat menahan sebak ketika penyerahan keputusan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam.
“Mak arwah sangat kuat. Cikgu dan kawan-kawan arwah tahan air mata saja tadi,” katanya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan sebuah video yang memaparkan detik ibu arwah mengesat air mata sebaik melihat keputusan peperiksaan berkenaan sebelum dipeluk oleh Cikgu Zie sendiri.
Difahamkan, Allahyarham Muhammad Fithri dijemput Ilahi pada 25 Januari lalu namun tiada maklumat mengenai punca remaja terbabit meninggal dunia.
Berdasarkan satu video dimuat naik Cikgu Zie sebelum ini, arwah sempat meminta restu kepada guru-guru dalam sebuah majlis dianjurkan pihak sekolah sebelum menduduki SPM.
Sumber: Facebook Mdm Ziee Man






































