Dalam suasana penuh debar menanti kehadiran cahaya mata pertama, usahawan dan penulis terkenal, Farah Fakhira, dikejutkan dengan berita pemergian suami tercintanya, Zaidul Ariff, yang meninggal dunia secara mengejut pada Khamis.
Farah Fakhira dan suami sempat pergi scan bayi
Menerusi perkongsian di Instagram, Farah Fakhira menceritakan kembali detik-detik terakhir bersama suaminya sebelum menerima khabar memilukan itu.
 
Katanya, sebelum kejadian mereka sempat meluangkan masa berdua pada tengah hari Khamis, melakukan imbasan bayi, menikmati makan bersama dan menunaikan solat Maghrib berjemaah tanpa menyangka semua itu akan menjadi kenangan terakhir mereka sebagai suami isteri.
Artikel lain: “Mak Baru Meninggal Dunia…” – Isteri Peniaga Air Balang, Puan Roslina Pergi Dijemput Ilahi
Pada jam 10.30 malam, Zaidul sempat menghantar mesej kepada Farah memberitahu dia sudah tiba di gelanggang badminton.
Tidak lama selepas itu, Farah menerima panggilan telefon yang tidak pernah ingin dijawab oleh mana-mana isteri apabila dimaklumkan bahawa suaminya rebah secara tiba-tiba ketika bermain.
Berita pemergian tersebut bukan sahaja mematahkan semangat Farah, malah seluruh pengikutnya turut tersentuh hati membaca luahan panjang yang dikongsikan di laman Instagramnya.
 
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Ya Allah ampunkanlah suamiku, sesungguhnya dia seorang suami yang sangat baik dan bertanggungjawab. Terima kasih kerana pinjamkan dia buatku selama ni.
Terima kasih izinkan kami ada zuriat bersama walaupun dia dah tak ada denganku. Rasa sekelip mata gelap terus dunia bila situasi ni datang semula. Benarlah, kematian ni bila-bila masa je Allah nak ambil,” katanya.
Farah yang kini sedang hamil anak pertama memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan arwah suaminya, serta kekuatan buat dirinya dan bayi dalam kandungan untuk menghadapi kehidupan mendatang.
“Minta sangat doakan arwah ya, ditempatkan orang-orang beriman dan semoga suatu hari nanti Fara boleh jumpa dia di syurga. Dan minta juga doakan Fara sihat dengan baby, dan kuat jalani kehidupan lepas ni,” tulisnya lagi.
Difahamkan sebelum tragedi ini berlaku, pasangan berkenaan baru sahaja menunaikan ibadah umrah bersama yang kini menjadi kenangan paling berharga buat Farah.
Dalam beberapa hantaran terdahulu, dia sempat menulis harapan agar suaminya dikurniakan umur panjang dan terus menjadi pelindung keluarga mereka namun takdir menentukan segalanya.
 
Farah dan arwah mendirikan rumah tangga pada tahun 2021 dan sering menjadi inspirasi ramai melalui perkongsian kehidupan berumah tangga yang bahagia.
Kini, ruangan komen di Instagram Farah dibanjiri ucapan takziah dan doa penguat semangat daripada rakan serta pengikutnya.
Pemergian Zaidul Ariff meninggalkan kesan yang mendalam buat ramai terutama bagi Farah yang sedang meniti perjalanan menjadi seorang ibu.
 
Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah buat Allahyarham Zaidul Ariff.
Sumber: Instagram @farahfakhira_
 
						
									







































 
								
				
				
			 
					 
				 
				 
				 
				 
				 
				