Dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun ditahan polis selepas bertindak menendang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB), menyebabkan seorang anggota polis terjatuh dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail, Temerloh awal pagi Ahad.
Remaja elak untuk berhenti
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika anggota dari Balai Polis Temerloh sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

Foto: Sinar Harian
Menurutnya, ketika rondaan dijalankan, anggota polis berkenaan terlihat sekumpulan remaja dipercayai berkumpul untuk berlumba haram berhampiran sebuah bank.
Artikel lain: Pemuda Libas Remaja Perempuan Kerana Simpan Hati Terhadap Mangsa – Polis
“Anggota beruniform bersama rakan setugas cuba menghampiri kumpulan itu, namun semua melarikan diri. Pengadu kemudian mengekori sebuah motosikal hitam tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki dua suspek sambil membunyikan siren dan memberi isyarat supaya berhenti.
“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan salah seorang daripada mereka bertindak menendang tayar motosikal anggota polis sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya.
Susulan kejadian itu, anggota berusia 23 tahun tersebut mengalami kecederaan di tangan dan kaki kanan sebelum dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan.

Foto: Sinar Harian
Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan kedua-dua suspek kira-kira jam 2.30 petang hari sama dengan bantuan ahli keluarga. Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Demak EX90 berwarna hitam bagi membantu siasatan.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan individu tanpa lesen memandu sah menunggang motosikal.
“Ibu bapa atau penjaga juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya, kerana membenarkan anak bawah umur memandu tanpa lesen sah,” ujarnya.

Foto: Sinar Harian
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak polis ketika pemeriksaan dijalankan.
“Kita juga menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak, terutama yang keluar lewat malam, bagi mengelakkan mereka menunggang kenderaan tidak cukup sifat atau tanpa lesen.
“Kealpaan ibu bapa boleh mengundang tragedi dan kehilangan nyawa,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian (Rosilawati Rosedi)







































