“Dua hari saya tak boleh tidur malam, setiap kali pejam mata, kejadian itu bermain dalam ingatan,” luah Megan, 42, saksi utama yang masih trauma selepas menyaksikan detik ngeri seorang penunggang motosikal terjatuh di atas keretanya dalam kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.
Menurut Megan, ketika kejadian dia bersama rakannya dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang, keadaan berlaku begitu pantas sehingga mangsa sudah berada di atas kenderaannya sebelum sempat menyedari.
“Saya ingatkan kereta itu tidak langgar apa-apa. Tiba-tiba saya perasan ada orang di atas kereta saya. Saya terus bawa perlahan-lahan untuk elak dia jatuh. Dalam hati saya berdoa agar dia selamat,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik berhenti di tepi jalan, Megan mendapati mangsa, Amirul Hafiz Omar, sudah tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan.
Detik itu meninggalkan trauma mendalam kepadanya, termasuk rasa fobia untuk memandu.
“Saya memang tak boleh tidur, saya takut, sampai sekarang nak bawa kereta atau motosikal pun saya fobia,” ujarnya.
Artikel lain: Isteri Rider Maut Luah Syukur! Pemandu Mabuk Didakwa Membunuh
Megan turut menegaskan kesukaran tambahan apabila kereta yang dipandunya tidak dilindungi insurans komprehensif, menyebabkan dia perlu menanggung sendiri kos pembaikan serta kenderaan ditahan untuk siasatan polis.
“Memang perbuatan individu ini sangat tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan hukuman tegas agar menjadi pengajaran kepada semua,” ujarnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang pemandu lelaki tempatan berusia 20-an memandu secara laju dan berbahaya, dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa.
Sumber: Sinar Harian (Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki)









































