Seramai 21 Orang Asli ditahan selepas dipercayai menceroboh dan merosakkan kawasan ladang kelapa sawit milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Rompin pada Isnin.
Ceroboh ladang kelapa sawit
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi menyatakan, tangkapan dibuat susulan laporan polis daripada wakil syarikat yang dilantik mengusahakan kawasan seluas kira-kira 718.281 hektar itu.
“Selain memasuki kawasan tersebut, mereka turut didakwa merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit di ladang milik baginda.
Kesemua individu yang ditahan di dalam kawasan ladang terbabit berusia antara 26 hingga 60 tahun, terdiri daripada empat lelaki dan 17 perempuan bagi membantu siasatan,” katanya.
Ceroboh ladang kelapa sawit & rosakkan kawasan tersebut
Tambah Sharif Shai, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh harta dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Artikel lain: Pengerusi Kuil Didakwa Ceroboh Tanah Milik Orang Lain
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah dan menasihati masyarakat supaya mempunyai geran pemilikan sah serta mematuhi undang-undang negara.
Sumber: Sinar Harian (Norawazni Yusof)







































