Seorang lelaki bangsa Cina yang dahulunya merupakan bekas penyanyi kelab malam, Chua Ming Hui, 41 tahun diberi hidayah memeluk Islam hanya disebabkan oleh sekeping wang kertas RM5 yang diterima olehnya sebagai satu bentuk sedekah.
Menurut laporan Sinar Harian, Chua Ming Hui atau nama islamnya, Muhammad Abdullah Chua memberitahu dirinya sudah memeluk Islam sejak enam tahun yang lalu dan penghijarahannya ini merupakan sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum ini.
Penyanyi kelab malam kini bergelar mualaf

Foto: Facebook International Islamic Information & Daawah Centre
“Saya tidak pernah terfikir untuk memeluk Islam, tetapi Allah aturkan jalan terbaik,” katanya semasa ditemui di Majlis Berbuka Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhammad Abdullah pernah menjadi penyanyi kelab malam di Kajang dan Cheras malah telah bergelumang di dalam dunia maksiat itu selama lebih 10 tahun.
“Saya menyanyi hampir setiap malam. Itulah sumber pendapatan saya tetapi kehidupan saya tidak menentu dan penuh perkara yang tidak baik,” ujarnya.
Namun begitu, hidupnya berubah semasa berpindah ke Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan yang baharu dan ditemukan dengan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew di satu tempat pengagihan sedekah.

Foto: Sinar Harian
“Saya beratur untuk mengambil bantuan. Ketika itu, Ustaz Ebit Lew bertanya sama ada saya mempunyai niat untuk memeluk Islam.
“Saya terkejut, tetapi dalam hati memang ada rasa ingin tahu tentang Islam,” ucapnya.
Bukan itu sahaja, Ebit Lew juga memberikan wang sebanyak RM100, pakaian, kasut beserta tempat tinggal sementara sebagai tanda sokongan atas niat murninya itu.
“Saya rasa sangat bersyukur. Tak sangka Islam begitu istimewa hingga membuatkan saya benar-benar ingin mengenalinya,” ujarnya lagi.
Setelah pertemuan itu, Muhammad Abdullah memutuskan untuk memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Selangor.
Artikel lain: Bekas Penjaga Gol Al-Nassr Dedah Cristiano Ronaldo Berhasrat Peluk Islam?

Foto: Sinar Harian
Muhammad Abdullah berkata, sejak bergelar mualaf dirinya sudah mula meninggalkan dunia hiburan dan kini lebih aktif mengikuti kelas pengajian Islam selama enam bulan di Pusat Perlindungan Mualaf sebelum melanjutkan pembelajaran di kompleks Al-Saadah, Negeri Sembilan, untuk mendalami al-Quran.
Biarpun sudah memeluk Islam, Muhammad Abdullah memberitahu pihak keluarga terbuka menerima penghijrahan yang dilakukan olehnya dan hubungan mereka masih akrab seperti selalu, menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama-sama sehingga kini.
Sumber: Sinar Harian (Adila Sharinni Wahid)
