Seorangbekas menteri memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.
Bekas menteri dipercayai terima rasuah berkaitan projek papan iklan
Memetik laporan daripada Berita Harian, bekas menteri berkenaan difahamkan menerima rasuah berkaitan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara, dengan kereta mewah itu didakwa diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Bekas menteri yang berkhidmat sebelum era Covid-19
Sebelum ini berita melaporkan, seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era COVID-19 kini berada dalam fokus siasatan terbaharu SPRM, meskipun sudah lama tidak memegang jawatan dalam kerajaan.
Bekas pemimpin terkenal itu juga pernah berdepan beberapa pertuduhan rasuah sebelum ini dan kini kembali menjadi perhatian susulan dakwaan penyelewengan semasa berkhidmat dalam sebuah kementerian.
Siasatan SPRM ketika ini turut membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka yang disyaki mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.
Menurut sumber, maklumat terbaharu daripada orang awam mendorong SPRM membuka kertas siasatan terhadap kes berkenaan.
“Bekas menteri berkenaan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi dirakam keterangan dan siasatan kini mengesan punca pembayaran kereta mewah berkenaan.
“Bagi kes tanah pula, siasatan awal mendapati tanah-tanah yang sebelum ini digazetkan untuk pembinaan surau dipindah milik kepada satu syarikat proksi,” katanya.
Artikel lain: Pegawai Kanan Tentera Darat Berada Di ICU, SPRM Geledah Pejabat & Kediaman Rasmi
Sumber terbabit turut memaklumkan, SPRM menerima maklumat bahawa bekas menteri terbabit turut menerima wang kira-kira RM5 juta daripada sebuah syarikat pemaju.
Ujarnya, seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.
Sumber: Berita Harian (Ilah Hafiz Aziz)







































