Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pandang serius terhadap kes penyaniayaan yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Malah, ATM juga memandang serius akan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-14, UPNM semalam yang jelas menzahirkan keprihatinan terhadap isu berkenaan.
Menurutnya, titah Baginda jelas menunjukkan kes penganiayaan tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku sama sekali.
Hal ini demikian kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta ATM secara amnya.
“Susulan daripada kes yang berlaku, ATM sudah dan akan terus menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengurusan universiti bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam sebarang perlakuan penganiayaan.
“Mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap Pegawai Kadet (PK) yang didapati bersalah dalam kes penganiayaan termasuk pemberhentian, penggantungan, atau hukuman lain yang selaras dengan peraturan dan etika ATM.
“ATM juga sudah bekerjasama dengan PDRM dan agensi berwajib lain dalam menjalankan siasatan khususnya jika terdapat elemen jenayah yang terbabit
“Selain tindakan disiplin, ATM turut mempergiatkan pelaksanaan program kesedaran, pendidikan dan kaunseling untuk mencegah insiden penganiayaan dalam kalangan PK. Program ini merangkumi penerapan nilai moral dan etika ketenteraan yang tinggi,” katanya.
Bukan itu sahaja, ALK juga telah menambah pemasangan 21 Closed-Circuit Television (CCTV) baharu di blok penginapan Pegawai Kadet sebagai tujuan pemantauan.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan sebanyak 38 unit, termasuk 17 CCTV sedia ada.
“Penambahan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan dan memperkukuh tahap keselamatan.
“Penginapan Pegawai Kadet Tahun 1 kini ditempatkan di Bukit Putera, manakala Pegawai Kadet tahun lain ditempatkan di Blok Penginapan UPNM.
“Pengasingan lokasi penginapan ini bertujuan untuk mengurangkan interaksi fizikal antara Pegawai Kadet Senior dan Pegawai Kadet Tahun Satu,”menurut kenyataan.
Selain itu, ALK juga sedang meningkatkan mekanisme pemantaun dengan mengasingkan tugas Pegawai Bertugas Pasukan yang kini hanya melaksanakan tugasan rutin pasukan.
Menurutnya, penugasan Ketua Jurulatih Bertugas diwujudkan bagi memantau secara khusus Pegawai Kadet, Ketua Jurulatih Bertugas bersama lapan Jurulatih Bertugas Harian melaksanakan rondaan dengan lebih kerap, terutama selepas jam 11 malam.
Langkah ini dibuat bagi memastikan keselamatan dan disiplin Pegawai Kadet terpelihara.
Tambahnya, ALK telah memajukan permohonan bagi pengisian perjawatan, terutama untuk menambah bilangan jurulatih bagi tujuan mengurangkan beban tugas sedia ada, selain keberkesanan pemantauan lebih sistematik terhadap Pegawai Kadet.
Bagi jangka masa panjang pula, selain tindakan disiplin tegas mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972, segala keputusan berkaitan salah laku yang dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama pihak UPNM selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
“ATM akan meningkatkan usaha memperkukuh nilai-nilai positif dalam kalangan PK, termasuk melalui kempen kesedaran tentang bahaya buli, pengukuhan jati diri, serta penerapan prinsip kesaksamaan dan hormat-menghormati.
“ATM akan membuat pengisian bagi memenuhi perjawatan di ALK terutamanya bagi jawatan Jurulatih, selain akan memperuntukkan perbelanjaan untuk pemasangan CCTV di semua aras blok penginapan PK.
“ATM dan UPNM akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan. Langkah ini merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman, serta pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pihak ATM dan UPNM juga akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta badan pendidikan lain bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi berkenaan.
“ATM akan terus konsisten dalam memastikan kejadian penganiayaan tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota, tetapi juga dengan menerapkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan serta kehidupan ketenteraan.
“Tanpa sebarang kompromi terhadap kekerasan atau penganiayaan, ATM komited untuk menegakkan perundangan dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan, demi memelihara maruah institusi ketenteraan serta kesejahteraan semua pegawai dan anggota yang dilatih,” katanya.