Seorang anggota tentera wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap anak lelakinya dua tahun lalu.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu sebaik sahaja tertuduh berusia 44 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh didakwa sebagai ibu kandung dan individu yang mempunyai hubungan amanah, dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di rumahnya di Taman Peruna, Sungai Udang, Melaka Tengah pada hujung Disember 2024.
Artikel lain: Guru Lakukan Amang Seksual Terhadap Pelajar Lelaki Dipenjara 10 Tahun
Kesalahan itu dibawa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal kerana tertuduh melakukan kesalahan serius terhadap mangsa kanak-kanak dan mempunyai hubungan amanah.
“Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran,” katanya.
Tertuduh yang juga ibu tunggal memohon hukuman ringan kerana perlu menyara tiga anaknya. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 3 Mac lalu.
Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































