Seorang lelaki warga emas dipercayai diabaikan oleh keluarga kerana keadaannya yang tidak terurus, diselamatkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) semalam.
Kisah menyayat hati lelaki yang dikenali sebagai Pak Mail itu ditularkan oleh aktivis Abbe Hae di media sosial miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Pak Mail ditemui dalam keadaan lemah di dalam rumah yang kotor dan tidak terurus.
Fizikalnya juga sangat kurus dan tidak berdaya sehingga perlu didukung oleh sukarelawan untuk dibawa keluar daripada kediamannya.
Anak Kurung Bapa Uzur Dalam Bilik Penuh Sampah?
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad, berkata pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kes itu lebih awal dan telah mengarahkan penghulu mukim untuk membuat semakan serta tindakan susulan di peringkat kampung.
“Hasil maklum balas daripada penghulu selepas berhubung secara langsung dengan anak kepada warga emas itu, dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah kesihatan mental.
“Tindakan mengurung dibuat oleh ahli keluarga atas faktor keselamatan bagi mengelakkan mangsa mengganggu orang awam dan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta orang lain,” katanya.
Tegas beliau, isu ini bukan pengabaian yang disengajakan, sebaliknya membabitkan situasi kesihatan mental yang memerlukan pendekatan berhemah, profesional dan berfakta serta pembabitan agensi berkaitan.
Zamakhshari turut menekankan bahawa kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan, dan setiap maklumat yang diterima akan ditangani mengikut prosedur, nasihat pihak berautoriti, serta keperluan sebenar kes termasuk aspek keselamatan dan kesihatan.
“Orang ramai diminta tidak membuat andaian atau membina naratif berdasarkan emosi dan visual semata-mata kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta tekanan tidak wajar kepada keluarga terbabit,” tambahnya.
Beliau menyeru kerjasama semua pihak agar isu-isu sensitif seperti ini ditangani secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan melalui saluran yang betul.
Sumber: FB Abbe Hae, BH Online (Syaherah Mustafa), FB Zamakhshari Muhamad













































