“Saya cuma fikir mahu pastikan anak selamat, walaupun sedar suspek memegang pisau ketika saya cuba menghalang,”
Kata Mohammad Solihin Abd Jalil, 32, mengenang saat cemas apabila anak lelakinya, Mohammad Arash Syufian, 11 bulan, hampir dijadikan tebusan oleh seorang lelaki warga Vietnam di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, Sabtu lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika Solihin bersama isterinya dan tiga anak membeli barangan keperluan dapur.

Foto: Sinar Harian
Sewaktu itu, dia berada di bahagian pakaian bersama anak sulung dan bayi bongsu, sementara isterinya bersama seorang lagi anak berada di bahagian barangan basah.
“Semuanya kelihatan normal sewaktu kami tiba, tiada tanda-tanda kecoh atau dimaklumkan ada insiden pencurian. Sedang saya memilih seluar untuk anak, tiba-tiba terdengar riuh-rendah sebelum suspek berlari ke arah kami dan cuba merampas bayi yang sedang didukung kakaknya,” katanya.
Artikel lain: Isteri Lari Tinggalkan Rumah! Bapa OKU Ambil Upah Baiki Kasut, Sara 3 Anak Walau Sakit Jantung
Tergamam seketika, Solihin yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera bertindak menarik kembali anaknya, dibantu beberapa pelanggan yang lain.
Saat paling mencemaskan adalah apabila suspek dilihat cuba menikam kepala bayinya dengan pisau pemotong.
“Saya halang dengan menadah kepala saya sendiri dan terkena sedikit luka. Mujur mata pisau itu patah. Selepas suspek terjatuh, orang ramai menahannya dan memukulnya.
“Syukur cubaan dia melarikan bayi gagal, dan saya rasa dia cuba menikam sebagai ugutan supaya orang melepaskannya,” ujarnya.

Foto: Sinar Harian
Menurut Solihin, insiden itu turut meninggalkan kesan trauma kepada anaknya yang kini mudah terkejut dan menangis apabila mendengar bunyi bising.
Dia turut kesal kerana pihak pengurusan pasar raya masih belum menghubungi atau bertanya khabar keluarganya selepas kejadian.
“Selalu saya lihat di media sosial, tak sangka ia berlaku kepada kami sendiri. Saya harap pihak pasar raya tingkatkan langkah keselamatan, terutama dalam mengendalikan kes pencurian,” tambahnya.

Foto: Sinar Harian
Terdahulu, media melaporkan lelekai warga Vietnam melarikan diri selepas didakwa mencuri makanan laut sebelum cuba menjadikan bayi sebagai tebusan.
Suspek kini direman empat hari sehingga 13 Ogos untuk siasatan di bawah Seksyen 380, Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian (Mohd Iskandar Othman)
