Selepas dilihat berucap di Perlis baru-baru ini, sumber mendedahkan bahawa pendakwah bebas Dr Zakir Naik ada tauliah rasmi untuk mengajar agama Islam di negeri itu.
Memetik laporan Malaysiakini, sumber tersebut berkata tauliah berkenaan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) dan ditandatangani oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Zakir Naik ada tauliah rasmi mengajar di Perlis
Foto: Free Malaysia Today
Pengurniaan tauliah itu dibuat mengikut Sekysen 118 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa agama negeri untuk meluluskan tauliah mengajar Islam.
“Zakir Naik ada tauliah rasmi mengajar agama Islam di Perlis bermula 2 Oktober 2023. Tauliah mengajar Zakir Naik juga telah diperbaharui dan bakal tamat pada 31 Disember 2025,” kata sumber.
Artikel lain: Zakir Naik Berucap Di Perlis Selepas Dapat Kebenaran Mufti – Jawatankuasa Fatwa Negeri
Sebelum ini, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kesediaan untuk ‘bertempur’ dengan seorang ahli parlimen DAP yang mempertikaikan program agamanya di Perlis.
“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” ujarnya.
Kenyataan keras itu dipercayai merujuk kepada kontroversi konvensyen agama yang dihadiri oleh Zakir, penceramah yang sebelum ini diharamkan berceramah di Malaysia.
Zakir Naik ada tauliah rasmi dari MAIPS
Foto: X MAIPS
Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer di Dewan Rakyat mempertikaikan kemunculan semula Zakir di Malaysia, sedangkan pendakwah itu diburu pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang haram dan ekstremisme.
Pada Ogos 2019, polis mengeluarkan arahan melarang Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.
Larangan itu dibuat selepas Zakir didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai orang Hindu dan Cina di Malaysia pada satu ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos 2019.
Sebelum larangan itu dikuatkuasakan, tujuh negeri lebih awal telah melarang ceramah Zakir iaitu Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan juga Perlis.
Namun, kini Perlis dilihat memberi laluan kepada Zakir untuk kembali berceramah dengan tauliah rasmi sehingga 31 Disember 2025.
Sumber: Malaysiakini
![](https://borakdaily.com/wp-content/uploads/2024/01/BORAK-DAILY-v1.png)