Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Ekosistem Kalis Korupsi, Anti-Khianat Pasak Pertahanan Negara

Kita mesti sentiasa berpesan bahawa integriti bukanlah sekadar nilai tambahan. Sebaliknya tiang seri yang menentukan kestabilan dan kelangsungan sesebuah negara. Apa jua bentuk korupsi, ketirisan, atau keculasan tidak hanya mencalarkan reputasi, tetapi akan berisiko melemahkan keupayaan pertahanan sekali gus menggadaikan kedaulatan tanahair. Olahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan Sambutan Hari Integriti 2024 adalah sesuatu yang seharusnya menjadi asas dalam menggerakkan segala sumber dan fokus kita bagi memastikan integriti memasak setiap urusan pertahanan negara. Menurut beliau, usaha untuk membentuk ekosistem kalis korupsi dan anti-khianat adalah langkah kritikal dalam memastikan sektor pertahanan terus menjadi benteng yang kukuh dan tidak tergugat. Pendirian Kementerian Pertahanan (MINDEF) ini perlu disambut baik memandangkan sektor pertahanan merupakan antara sektor yang terdedah dan sering dianggap sebagai ‘lubuk’ korupsi.

Pertahanan Negara

Foto: Web MINDEF

Integriti Benteng Pertahanan

Integriti adalah asas kepada sistem kerja yang telus dan berkesan. Tanpa integriti, setiap prosedur yang dirangka boleh dimanipulasikan. Setiap amanah yang diberikan berisiko dikhianati. Dan setiap keputusan strategik boleh terpesong oleh kepentingan peribadi. Dalam sektor pertahanan, implikasi ini lebih besar. Sebarang ketirisan atau pecah amanah bukan sahaja melemahkan organisasi. Lebih menggusarkan, ia akan membuka ruang kepada ancaman keselamatan yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Terlalu banyak contoh dan peristiwa silam yang membuktikan bagaimana ketirisan dan korupsi meruntuhkan kekuatan sesebuah sistem pertahanan. Sejarawan Edward Gibbon, dalam karyanya The History of the Decline and Fall of the Roman Empire, menyatakan bahawa faktor dalaman seperti korupsi adalah antara sebab utama kejatuhan Empayar Rom. Apa yang ditekankan, kesan korupsi i bukan sahaja melemahkan empayar sehingga rapuh dan terdedah kepada ancaman musuh, tetapi turut memadamkan kepercayaan rakyat terhadap sistem yang ada.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Akibatnya, struktur pertahanan yang pernah menjadi kebanggaan Rom perlahan-lahan runtuh dari dalam sehingga membuka ruang kepada serangan pihak luar. Kejatuhan Rom memberikan pengajaran yang tidak ternilai. Kekuatan sesebuah negara tidak sekadar bergantung pada keupayaan fizikal, tetapi pada integriti yang mendasari sistemnya.

Artikel lain: Kelebihan Diplomasi Sebagai Doktrin Asas Pertahanan Negara

Dalam era moden, penghakisan nilai integriti terus menjadi ancaman serius kepada sektor pertahanan negara. Laporan oleh Transparency International (TI) mendedahkan situasi di Nigeria yang menyaksikan pegawai tentera menyeleweng dana yang diperuntukkan untuk memperlengkap pasukan dalam usaha melawan Boko Haram. Penyelewengan ini menyebabkan kekurangan peralatan dan aset penting seperti senjata dan kenderaan, sekali gus melemahkan keupayaan operasi ketenteraan mereka di medan perang.

Situasi serupa berlaku di Filipina apabila pegawai tertinggi tentera terlibat dalam penyelewengan dana persaraan. Jeneral Angelo Reyes, bekas Ketua Staf Angkatan Bersenjata Filipina, dilaporkan menerima “pabaon” mencecah PHP 50 juta semasa persaraannya. Selain itu, Mejar Jeneral Carlos Garcia, yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan tentera, didapati menyeleweng dana ketenteraan bernilai PHP 303 juta.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Apabila keadaan ini berlaku, ia memberi implikasi besar kepada pertahanan negara dan keselamatan rakyat. Apabila pertahanan negara rapuh dan dicemari isu integriti, maka benteng pertahanan fizikal akan hilang taringnya dan hanya menunggu masa untuk diterobos musuh dan menyembah bumi.

Pengukuhan dan Adaptasi Teknologi

Salah satu komponen utama dalam membentuk ekosistem kalis korupsi ialah sistem kerja yang jelas, kukuh, dan mesra pengguna. Prosedur yang rumit dan birokrasi yang melampau lagi menyusahkan sering menjadi pencetus kepada percubaan untuk “memintas sistem.” Adalah kritikal untuk kerajaan dan agensi awam memastikan sistem kerja mereka memudahkan semua pihak. Dalam mengulas inisiatif oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan yang  kementeriannya merealisasikan agenda ini melalui satu tindakan fundamental, iaitu dengan menyemak secara menyeluruh prosedur kerja agar lebih mengutamakan produktiviti dan keberkesanan. Selaras dengan komitmen itu, Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) Peringkat Kementerian Pertahanan telah ditubuhkan pada 23 Ogos 2024.

Sasaran semakan semula itu adalah bagi memastikan proses kerja perkhidmatan awam ditambah baik, lebih ringkas, telus dan mudah diikuti oleh masyarakat. Ini kerana, sistem kerja yang teratur akan menyebabkan ruang serta peluang berlakunya ketirisan dapat diminimumkan. Perkara ini seterusnya akan menyokong pembentukan budaya integriti di seluruh organisasi secara tidak langsung sekali pun proses pembudayaan selalunya akan memerlukan masa yang panjang.

Dalam hal ini, teknologi kontemporari mempunyai kelebihan untuk menjadi medium penambahbaikan yang signifikan. Perkembangan teknologi seperti automasi, analitik, data raya, dan Kecerdasan Buatan (AI) memberi kelebihan tersendiri. Teknologi membolehkan pemantauan yang lebih tepat, analisis trend yang lebih mendalam, dan pengesanan awal terhadap tingkah laku yang tidak telus. Ini bermakna budaya ‘memintas sistem’ akan menjadi hampir mustahil untuk dilakukan secara berleluasa dan berulang.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pertahanan Negara

Foto: Kosmo! Online

Dalam hal ini, Dato’ Seri Mohamed Khaled menyatakan kesediaan dan komitmen Kementerian Pertahanan untuk melabur dalam pendigitalan dan teknologi baharu bagi melengkap dan memperkasa ekosistem pengurusan pertahanan negara. Walaupun memerlukan masa dan kos yang signifikan, langkah ini adalah pelaburan strategik yang akan memastikan prosedur dan budaya kerja di kementerian bersifat kalis ketirisan. Teknologi yang canggih, dilihat berupaya menutup ruang manipulasi. Keculasan dan ruang salah guna kuasa dapat ditutup dengan lebih baik sekali gus meningkatkan kecekapan, produktiviti dan mengelakkan pengkhianatan ‘dari dalam’ yang mampu mencalar nama baik pentadbiran Kerajaan dan meruntuhkan sistem pertahanan negara.

Anti-Khianat dan Keutuhan Nilai Manusia

Penulis tertarik dengan kesimpulan Menteri Pertahanan yang berpijak pada realiti bahawa biar  apa jua pendekatan yang dilaksanakan, kita tidak boleh nafikan yang integriti itu pada akhirnya bergantung kepada nilai dan sikap manusia. Korupsi sering kali berpunca daripada keinginan peribadi yang tidak terkawal. Beliau mengulas bahawa isu integriti berputik dan didorong oleh sikap tamak, salah guna kuasa, dan keengganan untuk berpegang pada amanah dengan jujur.

Pandangan sedemikian memberi makna bahawa keutuhan nilai dalam diri setiap anggota Kementerian Pertahanan dan ATM mesti menjadi fokus dan diberikan keutamaan. Kesedaran terhadap tanggungjawab, disokong oleh program pendidikan nilai dan pengukuhan integriti merupakan kunci kepada pembentukan budaya kerja yang kalis korupsi dan anti-khianat. Amanah yang dipegang secara teguh oleh setiap individu dalam sektor pertahanan bukan sekadar tanggungjawab kerja. Ia adalah satu bentuk tanggungjawab moral tetapi juga cerminan patriotisme kepada negara.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Berbekalkan usaha bersepadu melalui ekosistem kerja yang cekap, teknologi yang maju, dan nilai kemanusiaan yang kukuh, Malaysia boleh memastikan pengurusan kerajaan, khususnya dalam sektor pertahanan berdiri utuh sebagai benteng kukuh yang melindungi kedaulatan negara.

Penulis sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali menjadi bualan ramai selepas beliau tersenarai antara pemimpin terkaya di dunia bersama-sama dengan beberapa pemimpin dunia yang lain. Menerusi...

Sosial

Netizen Malaysia dan Indonesia ‘berganding bahu’ apabila kedua-dua negara itu bersama-sama kecam rekaan poster yang dihasilkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Menerusi beberapa hantaran...

Dunia

Pembunuh bersiri yang dianggap paling kejam di Thailand dijatuhi hukuman mati pada Rabu atas dakwaan membunuh 14 orang dan didapati bersalah meracuni rakannya menggunakan sianida....

Bisnes

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) meletakkan satu tanda aras baharu sejak dilancarkan pada tahun 2018 sebagai pemangkin strategik para usahawan terus melebarkan jaringan...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd