Penyanyi IU mengambil tindakan undang-undang terhadap lebih 180 individu tidak mengira usia yang terlibat dalam buli siber.
Menerusi sebuah kenyataan yang dibuat oleh agensinya, EDAM Entertainment di Instagram, memberitahu pihaknya sudah mengambil langkah undang-undang sejak 2023.
Foto: Instagram @edam.official
Menurut laporan media tempatan Korea, iaitu Pinkvilla, EDAM bekerjasama dengan firma guaman untuk mengumpulkan bukti agar IU dapat memfailkan saman dengan sewajarnya.
Antara dakwaan-dakwaan jenayah yang dibuat termasuk ugutan, penghinaan, fitnah (melibatkan tuduhan plagiarisme), ugutan bunuh, pelanggaran privasi gangguan seksual, pengedaran bahan lucah dan penciptaan kandungan palsu.
Sehingga kini, seramai 180 individu telah dikenal pasti sebagai defendan dan dipercayai seorang suspek merupakan rakan sekelas IU di sekolah menengah.
“Mereka didapati terus menerus mengganggu penyanyi berkenaan dan kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang,” tulis EDAM tegas di Instagram.
Foto: Instagram @dlwlrma
Pada perbicaraan pertama, tindakan seorang netizen menulis komen berbaur fitnah terhadap penyanyi IU akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan di Mahkamah Seoul Tengah, pada Selasa lalu.
Mengaku bersalah atas kesalahan yang dibuat, wanita terbabit bagaimanapun memohon hukuman diringankan atas alasan menghidapi masalah mental.
Jelasnya, dia cenderung menulis komen jahat di media sosial sejak mengalami penyakit berkenaan.
“Saya hanya meluahkan pandangan peribadi, saya ada sakit mental yang menjejaskan penulisan saya dalam hantaran itu.
“Jadi saya mohon hukuman saya diringankan,” katanya ketika perbicaraan.
Ia susulan tindakannya menulis lebih 30 komen menghina IU selain menyebarkan maklumat palsu mengenai penyanyi itu di beberapa platform media sosial.
Foto: Carian Google
Sebelum ini, IU merupakan antara selebriti yang berpendirian tegas menyaman netizen yang menyebarkan kata-kata jahat terhadapnya sejak 2013.
Menurut syarikat pengurusannya, sebanyak 180 individu tidak mengira usia telah pun dikenakan tindakan undang-undang sehingga ada yang dihantar ke pusat bimbingan akhlak atau juvana.
Untuk info, warganet yang didakwa oleh IU gagal hadir pada perbicaraan pertama bagi tuntutan ganti rugi yang diadakan di Mahkamah Daerah Pusat Seoul, Korea Selatan.
Perbicaraan kedua dijadualkan pada 4 Disember ini.
Sumber: Pinkvilla, Instagram @edam.official