Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah menganjurkan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran tersebut bertujuan untuk mengangkat dan mengetengahkan seni telepuk, salah satu khazanah warisan negara yang mencerminkan citra budaya Malaysia.
“Ini adalah sebahagian usaha Kementerian Perpaduan Negara dalam menyegarkan kembali seni telepuk yang menjadi satu bentuk seni menghias tekstil tradisional Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas di Dataran Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu, Sultanah Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah tekah berkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan pameran tersebut.
Dalam pada itu, pameran eksklusif ini telah dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula 28 Oktober hingga 31 Disember ini di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara.
Pameran ini memperagakan sebanyak 49 koleksi tekstil telepuk, 130 koleksi sarang atau cap telepuk dan empat penerbitan berupa manuskrip dan buku milik Jabatan Muzium Malaysia, Pergerakan Langkasuka, muzium-muzium negeri, agensi dan orang
perseorangan.
Pada masa yang sama, pameran ini turut mempersembahkan koleksi-koleksi telepuk masterpiece milik kerabat diraja untuk tontonan umum seperti koleksi baju sikap, kain setangan dan kain sarung.
Aaron turut berkata, pameran ini bertepatan dengan dasar Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui inisiatif Ini Warisan Kita yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara ini.
Artikel lain: Realisasi Pelestarian Plastik, NRECC Pertimbang Henti Sepenuhnya Plastik Sekali Guna Seawal 2026
“Saya amat yakin bahawa penganjuran pameran seumpama ini dapat dijadikan suatu platform untuk kita mendidik masyarakat khususnya generasi muda tentang keunikan dan keindahan seni telepuk agar legasi seni ini akan diteruskan oleh generasi akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, memelihara tradisi dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar tidak ditelan zaman bukan suatu tugas yang mudah pada era serba moden ini.
“Namun usaha ini tidak mustahil dapat direalisasikan secara kolektif yang melibatkan semua pihak sama ada daripada golongan pemimpin hingga ke rakyat biasa.
“Saya yakin dan percaya perkara ini mampu direalisasikan dan salah satu usahanya adalah melalui pameran seumpama ini.
“Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa mengutamakan agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, sesuai dengan fungsinya sebagai ‘guardian of heritage’,” jelasnya.
Pameran ini disemarakkan lagi dengan penganjuran beberapa program dan aktiviti kepada para pengunjung seperti program bicara@muzium dan webinar yang diadakan secara hibrid bengkel dan demonstrasi.
Selain itu, program sisipan seperti pertadningan lukisan seni telepuk, pertandingan produk seni telepuk dan aktivti mingguan bagi kanak-kanak seperti DIY key-chain dan mari kenal telepuk turut dianjurkan.