Sebelum ini, kecoh di media sosial seorang pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn Chia yang bertindak memperlekeh dan menghina negara menerusi persembahan komedi berdirinya dianggap melampau serta keterlaluan sehingga mengundang kritikan netizen.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menone yang mewakili negara tersebut memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kelakuan pelawak terbabit.
Malah, beliau akui terkejut dengan kata-kata kurang adab yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Jocelyn Chia di khalayak umum tambahan pula ia melibatkan isu sensitif yang melibatkan sesebuah negara.
Apa yang lebih mengundang kemarahan ramai apabila wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka tanpa serba salah.
“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan pelawak tersebut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Malaysia bahkan, dia mendakwa pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura.
Sumber: Astro Awani