Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menafikan dakwaan mengenai berlakunya lagi lubang benam di kawasan Masjid India.
Mendapan tanah yang berlaku
Menurut laporan The Star, Maimunah berkata, insiden yang berlaku di Jalan Bunus pagi Isnin lalu itu hanya mendapan tanah dan bukan berlaku kejadian sama seperti tahun lalu.

Foto: Media sosial
“Pemeriksaan awal menunjukkan tiada paip pecah atau kebocoran bawah tanah. Keadaan adalah stabil, jadi tiada sebab untuk panik,” katanya pada Selasa.
Beliau menambah, ketika melawat tapak pada pukul 2 petang, jubin di kawasan terjejas telah dibuka untuk memeriksa sebarang kebocoran, tetapi semuanya dalam keadaan baik.
“Pagi tadi (Selasa) juga hujan, jadi kami mahu memastikan tanah tidak longgar. Punca sebenar mendapan tanah masih dalam siasatan, tapi ini bukan lubang benam,” ujarnya.

Foto: Bernama
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini telah melantik perunding geoteknikal untuk memantau kawasan tersebut.
Insiden ini berlaku hanya dua minggu selepas pihak berkuasa menjelaskan punca sebenar sinkhole Masjid India tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kestabilan infrastruktur bawah tanah yang semakin uzur di pusat bandar.
Artikel lain: Jalan Masjid India Ditutup Sementara Gara-Gara Tanah Mendap
Pasukan dari DBKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Air Selangor, Indah Water Konsortium dan polis Dang Wangi berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.

Foto: Media sosial
Jalan Masjid India ditutup sementara dari Lorong Masjid India 4 sehingga kawasan terjejas, tetapi telah dibuka semula pada pukul 6 petang selepas kerja penampalan selesai.
Pemantauan dan penilaian teknikal masih dijalankan, dan DBKL akan mengeluarkan kemas kini dari semasa ke semasa.
Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa pasukan khas mendapati insiden itu berlaku akibat struktur paip pembetungan berkarat, digabungkan dengan tanah yang tidak stabil dan bukannya batu kapur seperti dakwaan sesetengah pihak.
Malah, DBKL dijangka mengeluarkan laporan penuh kepada orang ramai menjelang akhir tahun.
Dalam masa yang sama, DBKL juga sedang menjalankan kajian geoteknikal di laluan utama Segitiga Emas atau Golden Triangle bagi menilai profil tanah dan kestabilannya.
Penemuan awal menunjukkan tiada lokasi berisiko tinggi setakat ini.
Sebelum ini, pelancong India, G. Vijayalakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam sinkhole sedalam 8 meter yang terbuka secara tiba-tiba pada pagi 23 Ogos tahun lalu.
Sumber: The Star (Bavani M)







































