Polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita yang disembunyikan di dalam sebuah beg dan ditanam di kawasan belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, di sini, pada Khamis.
Wanita hilang dikatakan sepatutnya hendak berlepas ke Jerman
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan satu laporan orang hilang yang dibuat di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor, pada 15 Disember lalu.
Menurut beliau, susulan laporan tersebut, polis menerima satu lagi maklumat pada 18 Disember sebelum sepasukan anggota digerakkan ke sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat unsur perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah terbabit sebelum polis menemui satu beg yang mengandungi mayat seorang wanita yang ditanam,” katanya.
Artikel lain: Wanita Hilang Sebelum Sempat Tiba di SPRM, Keluarga Dakwa Diculik
Beliau berkata, siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dengan wanita hilang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-685 2222.

Foto: FB Mac Ruhayu
Sebelum ini, polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid memaklumkan laporan kehilangan mangsa, dikenali sebagai Suri Narudin, 53, dibuat oleh ibu saudaranya.
Dalam perkembangan berkaitan, maklumat mengenai kehilangan wanita tersebut turut tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Facebook @Mac Ruhayu, orang ramai diminta membantu mengesan Suri binti Narudin yang juga dikenali sebagai Maksu Kachak
Menurut hantaran berkenaan, wanita itu sepatutnya berlepas ke Jerman, namun dipercayai tidak pernah tiba di destinasi dan rekod menunjukkan mangsa juga tidak keluar dari Malaysia.
Mangsa dilaporkan gagal dihubungi sejak tarikh kehilangannya.
Gabungan maklumat daripada laporan polis dan sumber awam kini menjadi asas kepada siasatan lanjut pihak berkuasa bagi merungkai kes berkenaan.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli) & Facebook @Mac Ruhayu







































