Selepas menerima kecaman hebat gara-gara tindakannya mengeluarkan kata-kata berbaur lucah ketika bersiaran langsung di TikTok, lelaki menggunakan akaun @Hazren Rach Empire akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok @markyen_60, lelaki tersebut tampil menjelaskan dan mengakui kesilapannya selepas rakaman live itu tular di Threads.
“Saya ingin meminta seribu kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah melihat video live saya di restoran. Anggaplah itu salah saya, kita ni manusia yang tak pernah lari dari kesilapan. Jadi ini adalah kesilapan pertama saya dan saya minta maaf kepada semua sekali,”katanya.
Artikel lain: Lelaki Buat Live TikTok Di Restoran, Borak Tak Senonoh Fasal Wanita Di Meja Sebelahnya
Dalam video sama, Hazren turut menjelaskan bahawa isterinya tidak terlibat dalam insiden tersebut, menolak dakwaan yang mengatakan isterinya ketawa mendengar ucapan tidak senonohnya.
“Isteri saya tidak gelak berkaitan dengan apa yang saya cakap di live, dia gelak kepada benda lain. Isteri saya langsung tiada kaitan dengan isu ini,” jelasnya lagi.
Namun begitu, wanita yang berada di belakang Hazren ketika siaran langsung itu turut tampil membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Wanita tersebut yang menggunakan nama @alice_kasimova di Threads, berkongsi laporan polis berkenaan dengan kapsyen:
“Ramai yang suruh saya buat laporan polis, jadi saya pun ambil keputusan untuk buat. Bukan sebab marah, tapi sebab kalau kita terus diam, kita sebenarnya lindungi orang yang buat salah.
“Tak ada perempuan yang patut rasa takut untuk pertahankan diri sendiri. Saya cuma kongsi separuh laporan tu sebab ada maklumat peribadi, dan polis pun pesan supaya jangan tunjuk semua. Sekarang saya tunggu pegawai penyiasat hubungi saya.” tulisnya.
Insiden ini sekali lagi membuka mata ramai tentang pentingnya menjaga adab dan batas ketika berinteraksi di media sosial, terutama dalam siaran langsung yang boleh ditonton umum tanpa kawalan.
Sumber: TikTok @markyen_60, Threads @alice_kasimova








































