Seorang penuntut kolej swasta warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan, termasuk menyebabkan kecederaan parah dengan menggigit telinga kiri seorang anggota polis hingga putus, minggu lalu.
Tertuduh, Okenyehike Kelvin Obianke, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan dua majistret berasingan iaitu Majistret S. Mageswary dan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
“Saya tidak sengaja, saya mengaku tidak bersalah,” katanya semasa prosiding.
Lelaki Warga Nigeria Mengaku Tidak Bersalah
Di hadapan Majistret Mageswary, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah pada telinga kiri Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, di hadapan sebuah klinik di Metro Prima, Kepong, pada jam 10.10 pagi, 25 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Atiqah, tertuduh didakwa atas dua lagi kesalahan, iaitu memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah di lokasi dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta memasukkan dadah berbahaya jenis benzo ke dalam badan sendiri.
Kesalahan dadah itu didakwa berlaku di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, kira-kira jam 3 pagi, 26 April lalu, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad dan Nurainizatul Farhana Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 10 Jun serta 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta lantikan peguam.
Artikel lain: Tangan Dah Digari, Lelaki Warga Nigeria Gigit Telinga Koperal Hingga Putus
Pada 25 April lalu, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat koperal putus telinga kiri selepas digigit oleh seorang lelaki warga Afrika yang mengamuk di sebuah klinik swasta di Kepong.
Ketika kejadian, anggota berkenaan bersama seorang rakan setugas bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai seorang pesakit warga asing yang bertindak agresif.
Suspek pada awalnya dilaporkan cuba memberi kerjasama ketika ditenangkan pihak polis, namun ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan peronda (MPV), dia secara tiba-tiba berpaling dan menggigit telinga kiri mangsa hingga putus.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)
