Polis mengesahkan sudah menahan seorang suspek dalam rakaman video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai ayah tiri mangsa memukul, mengasari, dan menendang anak tirinya itu dalam kejadian di Setapak, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular berkaitan insiden itu dimuat naik di akaun Threads milik penyanyi rap @capricedaddycap.
Lelaki Dera Anak Tiri Telah Dituduh Di Mahkamah
Katanya, dalam video berdurasi dua minit itu, suspek dilihat memukul, mengasari, menendang, serta mengarahkan kanak-kanak itu berlari berulang-alik.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.48 tengah hari 19 Disember 2025 oleh pengadu, seorang wanita Melayu berumur 27 tahun yang juga ibu mangsa,” kata Fadil dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kejadian berlaku di sebuah kediaman sekitar Setapak, Kuala Lumpur, dan pengadu melihat beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek melakukan penderaan mental dan fizikal terhadap anaknya itu.
Artikel lain: Kes Wanita Dikerat: Anak Dedah Ibu Sudah Bayar RM7,000 Selepas Pertunangan Diputuskan
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Susulan aduan itu, Fadil berkata, pada 20 Disember 2025, pihaknya menahan suspek berusia 32 tahun yang juga suami pengadu dan ayah tiri mangsa.
“Suspek dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025,” katanya.
Sementara itu, beliau menyarankan orang ramai membuat laporan polis segera terhadap kes penderaan, terutama yang membabitkan kanak-kanak.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sumber: FB Polis KL










































