Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil menjelaskan beberapa isu kritikal dalam sektor kesihatan susulan pandangan terbuka yang dilontarkan oleh seorang editor akhbar tempatan pada 7 Julai lalu.
KKM perjelas komitmen tangani isu jururawat
Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau menerima teguran tersebut dengan hati terbuka dan menganggap kritikan sebagai satu cabaran, bukan serangan peribadi.
Menurut beliau, antara isu utama yang dibangkitkan adalah kekurangan jururawat dalam sistem kesihatan awam. Sehingga Jun 2025, terdapat seramai 120,667 jururawat termasuk Jururawat Masyarakat di seluruh negara, namun masih wujud kekosongan sebanyak 14,000 jawatan di fasiliti awam.
Bagi mengatasi isu ini, KKM telah mempergiat pelbagai usaha termasuk pengambilan graduan kejururawatan secara berfasa melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), peningkatan kapasiti pelatih di Institut Latihan KKM (ILKKM) kepada 3,000 orang setahun, serta pelonggaran syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan.
“Kami tidak berdiam diri. Malah, kami gandakan usaha agar jurang ini dapat ditutup secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Foto: Bernama
Beliau turut menjelaskan bahawa penamatan moratorium ke atas program kejururawatan swasta telah membolehkan lebih banyak institusi menawarkan latihan, sementara sebagai langkah interim, fasiliti kesihatan swasta dibenarkan mengambil jururawat terlatih warga asing (JTWA) di bawah syarat ketat tanpa menjejaskan peluang jururawat tempatan.
“Langkah ini bersifat sementara dan penuh kawalan. Fokus utama kita tetap untuk membina kapasiti tempatan,” ujarnya.
Dalam isu Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP), Dr. Dzulkefly mengakui bahawa pemberian elaun tersebut tidak dapat dilaksanakan buat masa ini berikutan kekurangan petugas yang tidak memungkinkan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB).
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa usaha untuk memperjuangkan ETAP akan diteruskan.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan untuk terus mencari solusi terbaik. Kami sedar, isu ini rumit kerana melibatkan imbangan antara kebajikan petugas dan kekangan kewangan kerajaan,” jelas Dr. Dzulkefly.
Berkaitan isu penempatan doktor, beliau menjelaskan bahawa pembatalan penempatan pada Februari lalu adalah langkah yang sukar tetapi perlu, demi menjamin keadilan calon.
Artikel lain: Nahas Pelajar UPSI: KP Kesihatan Kenang Jasa Petugas KKM – “Mereka Semua Luar Biasa”
Sistem ePlacement yang ditambah baik kini membolehkan 2,248 pegawai perubatan yang ditawarkan pelantikan tetap untuk menyemak penempatan mereka tanpa sebarang masalah teknikal.
Tempoh rayuan telah dibuka sehingga 14 Julai ini dan keputusan akan diumumkan pada 19 Ogos.
“Sistem ini mungkin tidak sempurna, tetapi kami berusaha sebaik mungkin untuk berlaku adil dan telus,” ujarnya lagi.
KKM juga memberi jaminan untuk memperkukuh kesejahteraan psikososial warga kerjanya menerusi Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja yang akan dilancarkan secara rasmi Oktober ini, sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia.
Garis panduan ini melengkapkan ekosistem sedia ada seperti platform MyHelp KKM dalam membentuk suasana kerja yang lebih selamat dan sihat.
“Kesejahteraan mental petugas kita adalah asas kepada sistem kesihatan yang berfungsi baik,” tambahnya.

Foto: KKM
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, pelbagai pencapaian penting telah direalisasikan oleh kementerian.
Antaranya termasuk pindaan Akta Perubatan 1971 dan Peraturan Perubatan 2025 bagi menyelesaikan isu pendaftaran pakar laluan Parallel Pathway, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), serta pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Di peringkat antarabangsa, Malaysia turut mengangkat Resolusi Kesihatan Paru-paru dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 yang kini diterima pakai oleh WHO.
KKM juga sedang merintis reformasi pembiayaan kesihatan melalui inisiatif RESET dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia yang merangkumi komponen seperti Medical Health Insurance & Takaful (MHIT), Diagnosis-Related Group (DRG) serta kaedah pembayaran Full Paying Patient (FPP).
Selain itu, usaha pendigitalan kesihatan dipergiat menerusi pelaksanaan Cloud-based Clinic Management System (CCMS) di lebih 150 klinik serta penambahbaikan aplikasi MySejahtera yang bakal dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Mengakhiri kenyataannya, Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa beliau memilih untuk bekerja membetulkan sistem, bukan sekadar membina persepsi.