Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan Kempen Lestari Pendidikan, satu inisiatif baharu bagi membantu peminjam yang mempunyai tunggakan untuk menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan.
PTPTN laksana Kempen Lestari Pendidikan
Menerusi satu kenyataan hari ini, PTPTN berkata kempen yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 15 Disember 2025 ini dibuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah yang mempunyai tunggakan RM500 dan ke atas.
“Peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi, sebelum memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman dalam tempoh kempen.
“Dengan kaedah ini, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing,” kata PTPTN dalam kenyataan itu.
Artikel lain: PTPTN, My Digital ID Jalin Kerjasama Perkukuh Transformasi Digital myPTPTN
PTPTN menjelaskan, kempen ini merupakan sebahagian daripada strategi #PTPTNBolehBincang, yang memberi peluang kepada peminjam untuk berunding dan mendapatkan pelan bayaran balik fleksibel.
Usaha ini bukan sahaja memberi ruang kepada peminjam untuk menyusun semula komitmen kewangan, malah memastikan kelestarian dana pinjaman pendidikan negara agar dapat terus dimanfaatkan oleh pelajar generasi seterusnya.
Dalam masa yang sama, PTPTN turut menggalakkan peminjam membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit bagi memastikan urusan pembayaran berjalan lancar dan konsisten.
Pendekatan ini disokong oleh inisiatif #PTPTNSediaBantu, yang menyediakan pelbagai saluran komunikasi bagi memudahkan peminjam mendapatkan bantuan dan maklumat.
Antara saluran yang disediakan termasuk Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 (beroperasi Isnin hingga Jumaat, 9.00 pagi hingga 5.00 petang), Live Chat di portal PTPTN, E-Aduan PTPTN, Eksekutif Jualan PTPTN, serta platform media sosial rasmi PTPTN.
Selaras dengan usaha memperkukuh budaya pembayaran balik pinjaman, PTPTN turut melaksanakan Bulan Mesra Pelanggan di semua pejabat negeri dan cawangan seluruh negara mulai 1 November hingga 15 Disember 2025.
Sepanjang tempoh ini, PTPTN menawarkan pelbagai ganjaran istimewa kepada peminjam, termasuk cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM70,000 kepada 140 pemenang yang membuat bayaran balik sekurang-kurangnya RM500, serta cenderamata khas kepada 20 pelanggan terawal yang hadir di kaunter dan membuat rundingan bayaran balik.
Bagi kemudahan pelanggan, waktu operasi kaunter PTPTN turut dilanjutkan bermula 1 hingga 15 Disember 2025, dari 8.30 pagi hingga 6.00 petang pada hari bekerja dan 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Sabtu di cawangan terpilih seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Lestari Pendidikan ini, orang ramai disaran melayari portal rasmi PTPTN atau menghubungi saluran perkhidmatan yang disediakan bagi sebarang pertanyaan lanjut.







































