Isteri kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar@Kamaruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 tahun lalu.
Isteri bekas PTD didakwa terima RM5,000
Menurut laporan Bernama, Salwani, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan.

Foto: Bernama
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Kerteh dekat Besut, pada 16 Januari 2025.
Pertuduhan ke atas Salwani dikemukakan di bawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta serupa.

Foto: Bernama
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Maziah Mohaide, menawarkan agar tertuduh dibenarkan ikat jamin sama seperti yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, iaitu RM30,000 dengan dua penjamin, bersama syarat tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
“Memandangkan saya akan memohon kes ini dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes tertuduh sebelum ini serta kes suaminya (Muhammad Hafizuddeain), tiada halangan sekiranya jaminan yang sama digunakan pada hari ini terhadap tertuduh,” katanya.
Peguam Fahmi Abd Moin, menyatakan pihaknya tiada halangan dan bersetuju dengan tawaran jaminan yang diberikan timbalan pendakwa raya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sama seperti yang diberikan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, berserta syarat-syarat serupa.

Foto: Bernama
Hakim juga menetapkan 30 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes Salwani sebelum ini.
Artikel lain: SPRM Peroleh Izin, Mantan PAT & Bekas PTD Bersama Isteri Didakwa Mulai Esok
Pada 22 Januari lalu, Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan sama membabitkan wang berjumlah RM77,000 dan dibenarkan diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin oleh Hakim Rosli Ahmad.

Foto arkib: Bernama
Pada hari yang sama, suaminya Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.12 juta.
Manakala pada Jumaat berikutnya, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Shah Alam atas dua pertuduhan berkaitan kesalahan sama membabitkan jumlah RM145,000.

Foto arkib: Bernama
Pada 7 Januari lalu, SPRM melalui Ops Parasit menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat.
Keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Sumber: Bernama







































