Misteri penemuan mayat lelaki di dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth semalam akhirnya terjawab apabila mangsa dikenal pasti sebagai Lee Boon Han, 31 tahun
Lelaki dikelar dan sumbat dalam bagasi
Menurut laporan Malaysia Gazette, pengesahan dibuat selepas bapanya hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya pagi tadi bagi menjalani proses pengecaman sekitar jam 9 pagi.
Lelaki warga emas itu dilihat keluar dari unit berkenaan dalam keadaan sebak sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa mayat tersebut adalah anaknya.
Artikel lain: Penuntut Universiti Swasta Cedera Dikelar Bekas Teman Lelaki, Suspek Direman Hari Ini
Difahamkan, Boon Han bekerja sebagai ejen insurans dan kali terakhir dilihat pada 8 Oktober lalu selepas keluar ke Perlis untuk urusan kerja. Namun, dia gagal dihubungi selepas itu, menyebabkan keluarganya tampil membuat laporan polis.
Semalam, media melaporkan seorang pekerja penyelenggaraan menemui bagasi mencurigakan di kawasan flat berkenaan sekitar jam 1.43 petang sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Pemeriksaan mendapati terdapat mayat lelaki di dalam bagasi dengan leher dikelar, tangan diikat dan muka diserkup plastik. Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa dipercayai baru dibunuh.
Pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta motif pembunuhan. Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung kes berkenaan.
Sumber: Malaysia Gazette (Malinda Abdul Malik)
