Penceramah bebas yang pernah terpalit kontroversi, Ustaz Faridul Firdaus Zaulkapli dijatuhi hukuman penjara 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada Rabu selepas didapati bersalah kerana gagal melunaskan hutang perkahwinan kepada bekas isteri ketiganya berjumlah RM120,000 sejak tiga tahun lalu.
Gagal bayar hutang perkahwinan
Menurut laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Mohd Faizal Habib yang menolak sepenuhnya alasan dikemukakan Faridul Firdaus, 40, selaku defendan selepas mahkamah meneliti fakta kes, dokumen sokongan serta hujah kedua-dua pihak.

Foto: Harian Metro
Mahkamah turut mengarahkan defendan membayar kos prosiding sebanyak RM3,000 kepada plaintif, Norhasyimah Mohamed Arip, 44.
Dalam penghakimannya, Mohd Faizal menyifatkan alasan beban ekonomi kronik yang dibangkitkan defendan sebagai tidak berasas dan sekadar penafian semata-mata.
Beliau berkata, penelitian terhadap eksibit yang dikemukakan termasuk penyata kewangan syarikat milik defendan, jelas menunjukkan Faridul Firdaus mempunyai pendapatan bulanan serta sumber kewangan mencukupi untuk mematuhi perintah pembayaran yang telah diputuskan mahkamah sebelum ini.
“Walaupun bergantung kepada sumber pendapatan ceramah dan tauliahnya sudah ditarik, penghutang kehakiman membuat pengakuan bahawa beliau masih berceramah di tempat awam selepas itu.
Penghutang kehakiman yang menanggung tiga isteri juga gagal membuktikan perbelanjaan persekolahan 10 anaknya kerana mahkamah mendapati anaknya menjalani pembelajaran di rumah (home schooling) dan diajar sendiri oleh isteri-isterinya.
“Namun, mahkamah memuji usaha penghutang kehakiman menanggung sewa rumah kedua ibu bapanya untuk keselesaan walaupun mempunyai rumah sendiri di Taman Dato Harun. Tetapi itu sekadar ihsan sedangkan membayar hutang adalah kewajipan kepada penghutang,” katanya.
Artikel lain: Rogol, Amang Seksual Remaja… Penceramah Bebas Dipenjara 15 Tahun!
Plaintif diwakili Peguam Syarie Musa Awang, manakala defendan hadir tanpa diwakili peguam.
Penghakiman tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Sebelum ini, mahkamah telah mengarahkan defendan melunaskan hutang perkahwinan berkenaan secara ansuran RM40,000 sebulan selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2023, namun perintah itu gagal dipatuhi apabila defendan tidak membuat sebarang bayaran.

Foto: Media sosial
Permohonan yang difailkan oleh plaintif adalah susulan Penghakiman Persetujuan serta Saman Penghutang Penghakiman (SPP) yang dikeluarkan terhadap defendan bagi menuntut pembayaran hutang perkahwinan tersebut, namun defendan didakwa terus ingkar terhadap arahan mahkamah.
Difahamkan, defendan telah dua kali ingkar terhadap penghakiman mahkamah sekali gus menyebabkan mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari.
Musa menjelaskan, hukuman penjara tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab defendan, sebaliknya Faridul Firdaus masih diwajibkan melunaskan hutang perkahwinan berkenaan selepas selesai menjalani hukuman.
Untuk rekod, Faridul Firdaus pernah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam selepas disabitkan kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah pada 16 Julai tahun lalu.
Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)







































